Laluan Gopeng, Simpang Pulai dibuka semula

Iklan
Laporan Sinar Harian

IPOH - Laluan antara Gopeng dan Simpang Pulai di Kilometer 288.1, Lebuhraya Utara-Selatan yang membabitkan nahas tujuh kenderaan yang mengorbankan dua pemandu treler kembali dibuka sepenuhnya pada Sabtu.

Kemalangan sekitar jam 7.30 pagi yang melibatkan tiga treler, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua kereta itu dibuka selepas trafik sesak lebih lapan jam.

Iklan
Iklan

PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataan di Facebooknya memaklumkan semua lorong arah utara dan lorong kanan arah selatan telah dibuka pada jam 3.53 petang.

"Status terkini, Semua lorong arah utara dan lorong kanan arah selatan telah dibuka. Laluan kontra telah dinyahaktifkan.

Iklan

"Trafik perlahan 19 kilometer (km) arah utara dan 4km arah selatan. Sila rancang perjalanan anda. Pandu berhati-hati," katanya pada Sabtu.

Tambah kenyataan itu, pihaknya menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna ketika kerja-kerja pengalihan, pembersihan dan pengurusan insiden sepanjang proses dijalankan.

Iklan

"Pihak PLUS juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi penguatkuasaan, penyelamat, dan kontraktor penyelenggaraan kami serta pihak media yang terlibat atas sokongan, bantuan dan kerjasama yang diberikan ketika pengurusan insiden ini," katanya.

Sinar Harian melaporkan dua pemandu treler masing-masing membawa muatan gula dan barangan logam dilaporkan maut dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan.