BEREGU badminton campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei konsisten menampilkan rentak cemerlang di Thailand Masters selepas menyambar slot dua terbaik kejuaraan Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu pada Sabtu.
Tang Jie-Ee Wei menjelmakan kegarangan untuk ke pentas perebutan kejuaraan Siri BWF Super 300 itu selepas menjinakkan cabaran gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.
Set pertama gandingan nombor sembilan dunia itu memacu permainan untuk menang 21-11 ke atas beregu dari Negara Matahari Terbit tersebut.
Bagaimanapun set kedua, Tang Jie-Ee Wei diberikan tentangan sengit sebelum menang 21-17 dalam masa 33 minit di Stadium Nimibutr, Bangkok tersebut.
Tang Jie-Ee Wei akan berdepan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai gandingan dari Thailand dalam perlawanan penentuan kejuaraan.
Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pula mara selepas menyingkirkan cabaran gandingan sensasi Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-17, 21-14, dalam masa 37 minit.
Perjalanan Siri Jelajah Dunia BWF Tang Jie-Ee Wei sebelum ini bermula pada Terbuka Malaysia menyaksikan kekalahan straight set kepada Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, 22-24, 14-21 pada pusingan kedua Terbuka Malaysia.
Di Terbuka India, Tang Jie-Ee Wei juga tersekat dalam pusingan kedua selepas tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, straight set 19-21, 16-21.
Sementara itu di Indonesia Masters, Tang Jie-Ee Wei memberi cabaran kepada Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, untuk kemenangan 21-12, sebelum tewas 13-21, 14-21 kepada gandingan Indonesia tersebut dua set kemudiannya.