Yi Wei lakar sejarah wanita pertama terajui ragbi Selangor

Iklan
Yi Wei (lima, kiri) bersama Exco dan ahli selepas Mesyuarat Agung Kesatuan Ragbi Selangor pada Sabtu.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei melakar sejarah selaku presiden wanita pertama menerajui Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) sejak lebih 100 tahun penubuhan kesatuan itu.

Pada mesyuarat agung tahunan (AGM) KRS, Yi Wei yang berusia 34 tahun dicalonkan Kelab Ragbi Cobra dan diumumkan menang tanpa bertanding untuk jawatan berkenaan bagi penggal 2024-2026.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Yi Wei berkata, keputusan menerajui KRS bukan untuk menjadi terkenal atau sekadar memegang jawatan dalam badan sukan itu, sebaliknya dia amat menyukai sukan tersebut.

Menurutnya, ragbi bukan asing baginya kerana dia pernah bermain sukan lasak itu ketika belajar di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong sehingga mengalami kecederaan ligamen dan pecah tulang pipi.

Iklan

"Saya sebenarnya rasa agak gementar (untuk menjadi presiden), tetapi (saya) ambil (ia) sebagai perkara baik. Ini boleh dijadikan sebagai teladan kepada belia wanita-wanita yang lain yang terlibat dalam sukan, bukan hanya sebagai atlet tetapi sebagai pentadbir juga.

"Matlamat utama (saya) adalah (untuk) mengembalikan Selangor sebagai pasukan handalan ragbi. Untuk itu akan dianjurkan lebih banyak aktiviti pembangunan dan pendedahan di semua peringkat dan bekerja rapat dengan kelab, ahli gabungan serta sekolah untuk meningkatkan penyaluran bakat ke peringkat tinggi," katanya.

Iklan

Yi Wei berkata, dia terlibat secara aktif dalam KRS, pembangunan ragbi wanita serta sukan wanita sejak menjadi ADUN pada 2018.

Dalam pada itu, beliau berkata, fokusnya dalam masa terdekat adalah untuk menyediakan pasukan Selangor ke saingan Piala Agong dan penganjuran Liga KRS.

Sebagai rekod, Selangor pernah muncul juara Piala Agong sebanyak enam kali iaitu pada 1984, 1987, 1997, 2001, 2004 dan 2006.

INFO

Kepimpinan KRS 2024-2026

Presiden: Lim Yi Wei

Timbalan Presiden: Prakash Arikrishnan

Naib Presiden: Datuk Aldillan Anuar

Naib Presiden Mohd Hafiz Mohd Zaki

Setiausaha Kehormat: Tan Thiam Jin

Penolong Setiausaha Kehormat: Mohd Azri Mardi

Bendahari Kehormat: Mohd Emran Ibrahim

Ahli Jawatankuasa (AJK):

Shahizam Tukiran,

Mohammad Faiz Samsukhidir,

Sean Pereira,

Muhammad Siddiq Amir Jalil