BAITULMAQDIS - Rakyat Israel terjerumus dalam kesihatan mental teruk sejak Hamas melancarkan serangan tidak pernah berlaku pada 7 Oktober lalu.
Satu kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet pada 5 Januari lalu menyatakan bahawa 'semua rakyat Israel terdedah kepada skop serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini'.
"Ia mencerminkan satu trauma besar-besaran," menurut kajian yang dikarang bersama ahli psikologi klinikal, Yossi Levi-Belz yang mendapati impak meluas dan ketara terhadap kesihatan mental rakyat Israel.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Israel, Uriel Buso telah mengakui bahawa kekurangan peruntukan kesihatan mental sebelum perang dan memerlukan 'tindakan segera' untuk mengatasi masalah itu.
Serangan pejuang Hamas pada awal pagi 7 Oktober lalu sempena hari terakhir percutian perayaan Sukkot di sempadan Israel telah menyebabkan serangan balas tentera rejim di Genting Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 27,000 yang kebanyakan wanita serta kanak-kanak.
Akibat serangan itu, tentera Israel mengalami jumlah korban besar dan cedera parah akibat bertempur dengan pejuang Hamas di Genting Gaza.
Sejak hari serangan, panggilan ke talian bantuan Pertolongan Cemas Emosi di Israel dilaporkan meningkat dua kali ganda.
Antara mereka yang terjejas bukan sahaja mangsa yang terselamat, malah keluarga mangsa dan tebusan serta anggota penyelamat dan polis.
Malah, segelintir kanak-kanak tidak mahu ditinggalkan berseorangan oleh ibu-bapa pada waktu malam manakala orang dewasa tidak dapat menumpukan perhatian dalam tugasan harian selain dibelenggu rasa bersalah kerana gagal menyelamatkan insan yang disayangi.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Moshe Bar Siman-Tov menyatakan bahawa daripada 9.7 juta penduduk Israel, kira-kira 100,000 telah terdedah kepada insiden yang berpotensi menimbulkan trauma sejak permulaan perang.
Sebelum perang lagi, kesihatan mental warga Israel berada dalam keadaan yang teruk, khususnya disebabkan oleh kesan berlarutan pandemik koronavirus. - AFP