Mohd Shafie mahu penjelasan pelancong China bolos

Iklan
Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah untuk meminta penjelasan mengenai isu pelancong China yang bolos dari pemeriksaan dokumen di kaunter Imigresen.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai isu itu sebelum membuat penambahbaikan agar ia tidak berlaku lagi.

Iklan
Iklan

"Saya akan panggil Jabatan Imigresen untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku dan kita perlu melihat ruang lingkup yang perlu ditambah baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jasamu Dikenang Sempena Perpisahan Mantan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri di sini hari ini.

Semalam, tiga lagi warga China ditahan di Lapangan Terbang Tawau kerana didapati gagal melaporkan diri di mana-mana kaunter Imigresen khususnya kaunter transit yang disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk mendapatkan ‘Cop Masuk Imigresen’.

Iklan

Ia adalah kejadian kedua selepas empat wanita warga China ditahan 10 Disember tahun lepas kerana melakukan kesalahan yang sama.

Kesemua wanita itu memasuki Sabah dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan dari Shanghai, China ke Kota Kinabalu pada 4 Disember lepas, pukul 6.15 pagi dan pada hari sama, kesemua wanita itu kemudian berlepas dengan penerbangan pukul 7.40 pagi dan tiba di Tawau pada 8.25 pagi.

Iklan

Bagaimanapun kesemua wanita berkenaan ditahan semasa pemeriksaan dokumen pasport mereka ketika penerbangan balik ke Shanghai melalui Lapangan Terbang Tawau akibat pembolosan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

- Bernama