Tuah penalti iringi Qatar

Iklan
Meshaal Barsham dijulang rakan sepasukannya selepas penentuan penalti. - Foto: AFP

PENJAGA Gol Qatar, Meshaal Barsham menyifatkan tuah mengiringi kemaraan pasukannya ke separuh akhir Piala Asia menentang Iran selepas menewaskan Uzbekistan menerusi penentuan penalti pada Ahad.

Barsham yang muncul wira menyelamatkan tiga sepakan penalti ketika Qatar menang 3-2 selepas seri 1-1 pada penghujung masa tambahan dalam perlawanan suku akhir di Stadium Al-Bayt.

Iklan
Iklan

"Dengan penalti ada beberapa jangkaan dan ada sedikit tuah. Syukur saya bernasib baik dan menyelamatkan tiga penalti,” katanya.

Lawan Qatar pada separuh akhir ialah Iran yang menewaskan pasukan pilihan, Jepun 2-1 pada satu lagi aksi suku akhir.

Iklan

Qatar telah menang empat perlawanan berturut-turut dalam kejohanan itu tetapi mereka diberi ujian lebih berat oleh Uzbekistan yang tampil dengan permainan cemerlang.

Qatar membuka jaringan pada pertengahan babak pertama apabila rembatan kapten Hassan Al-Haydos gagal ditangkap kemas penjaga gol Utkir Yusupov.

Iklan

Uzbekistan menyamakan kedudukan pada minit ke-58 apabila Odiljon Hamrobekov melepaskan tendangan ke penjuru gawang Qatar.

Qatar memenangi Piala Asia buat kali pertama pada 2019 dan dalam rentak terbaik untuk mempertahankan kejuaraan tersebut.