'Kami sentuh, ukur wang sebelum pulangkan baki' - Peniaga OKU

Iklan
Norizah (kiri) melayan Norizawati yang mahu membeli barangan jualannya.

KOTA BHARU - Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang berniaga sempena Program Jualan Amal mempunyai kaedah tersendiri untuk mengenali wang dibayar pelanggan.

Ahli Pertubuhan Orang Cacat Malaysia Cawangan Malaysia Cawangan Kelantan, Wan Mohd Suhaimi Wan Mohd Zawil Abidin, 41, berkata, mereka akan menyentuh atau mengukur wang yang diberi pelanggan sebelum memberi bakinya jika perlu.

Iklan
Iklan

"Itu antara kaedah yang kami praktikkan sebelum memulangkan baki kepada pelanggan," ketika ditemui sempena jualan amal itu pada Ahad.

Jualan dua hari yang bermula Sabtu itu disertai sepuluh OKU yang menjual barangan kering secara kecil-kecilan.

Iklan

Menurut Wan Mohd Suhaimi, mereka gembira jika ada pelanggan yang memaklumkan jumlah wang ketika membeli barang bagi memudahkan pemberian baki, namun ada yang tidak berbuat demikian.

"Jadi kami akan menyentuh dengan tangan dan mengukurnya terlebih dahulu kerana setiap tekstur serta saiz terutama panjang wang kertas berbeza," katanya.

Iklan

Wan Mohd Suhaimi yang membantu isterinya berniaga cheese tart, muruku dan madu menjelaskan deria sentuh individu OKU lebih sensitif.

Bagaimanapun katanya, bagi wang syiling pula, mereka perlu membuat perbandingan tekstur di sekeliling syiling itu sama ada kasar atau halus.

"Pada mulanya agak sukar untuk saya mengenali wang itu kerana dilahirkan rabun sejak kecil dan lama-kelamaan tidak boleh melihat," katanya.

Seorang lagi peniaga OKU penglihatan, Norizah Mohd Noor, 62, turut melakukan perkara sama jika pelanggannya tidak memberitahu jumlah wang yang diberikan.

Katanya, pada mulanya dia sukar membezakan wang kertas dan mengambil masa untuk mengenalinya tetapi kini ia tidak lagi menjadi masalah.

"Lama kelamaan hanya dengan sentuhan kami sudah boleh memberi baki wang kepada pelanggan dengan cepat," ujarnya.

Norizah yang menjual sabun, skrub dan pewangi kenderaan bersyukur kerana dapat membantu persatuan mengumpul dana untuk pembangunan OKU penglihatan di negeri ini.

Rakannya, Norizawati Abd latif, 51, pula bersyukur kerana pelanggan jujur dan membeli sos char kuetiau yang dihasilkan suaminya.

"Alhamdulillah, pelanggan faham dan ramai yang terus membayar pada harga mencukupi," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Pertubuhan Orang Cacat Malaysia Cawangan Kelantan berusaha menganjurkan jualan amal untuk mengutip dana bertujuan membina sebuah bangunan selepas hampir 30 tahun hanya menyewa premis.

Pengerusi pertubuhan itu, Azmi Abdul Manaf turut mengakui pegumpulan dana sangat perlahan dan tidak sampai RM100,000 sejak dilaksanakan pada 1990-an.