Kuota ahli majlis kukuh kerjasama BN-PH hadapi PRU16

Iklan
Mohd Imran

SHAH ALAM - Keputusan akhir berhubung pembahagian kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dibuat atas dasar memperkukuh kerjasama dan gerak kerja kerajaan negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin ketika dihubungi berkata, perbincangan mengenai perkara itu tidak boleh dilakukan semata-mata untuk memenuhi keperluan atau permintaan jangka masa pendek.

Iklan
Iklan

Ujarnya, matlamat paling penting dalam perbincangan atau apa sahaja keputusan yang dibuat adalah untuk terus mengukuhkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi berdepan PRU itu.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan media berkata, persefahaman telah dicapai antara PH dan BN Selangor dalam isu kuota ahli majlis PBT, cuma perkara itu perlu"dibincangkan lebih lanjut” untuk memuktamadkan keputusan.

Iklan

Menyifatkan ia sebagai satu perkara biasa, Pengerusi PH Selangor itu turut berkata, hal itu boleh diselesaikan dengan mudah berikutan wujud persefahaman antara semua pemimpin parti yang terlibat.

Pada 20 Januari lalu, UMNO Selangor menyerahkan kembali kuota 20 jawatan ahli majlis PBT di negeri itu kepada PH.

Iklan

Menolak andaian tindakan itu sebagai merajuk, Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, UMNO Selangor akan memberi tumpuan kepada 373 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yang dilantik di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau antara lain turut menafikan dakwaan UMNO tamak atau tidak sedar diri mahupun mendesak PH untuk memberikan jawatan kepada parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Imran mengakui walaupun pembukaan kuota ahli PBT kepada BN pada masa ini ialah hak kerajaan negeri, namun UMNO Selangor tetap dengan pendiriannya sebagaimana diumumkan Pengerusi UMNO Selangor pada bulan lepas.

"Kami hormati keputusan itu tetapi dari segi politik dan kerjasama, keputusan pucuk pimpinan setakat hari ini masih kekal status quo,” katanya.