JOHOR BAHRU - Seorang jurulatih renang terkejut dan kini berada dalam ketakutan selepas along meletupkan keretanya di hadapan rumahnya di Taman Johor Jaya di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 4 pagi semasa wanita berusia 21 tahun itu berada dalam rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan.
"Apabila mangsa keluar rumah, dia mendapati kereta jenis Proton Persona miliknya yang diletakkan di luar pagar rumah sedang terbakar.
"Mangsa terus padam kebakaran terbabit sebelum membuat laporan polis.
"Hasil siasatan mendapati kebakaran membabitkan bahagian bumbung, bonet hadapan dan pintu sebelah penumpang. Tiada kamera litar tertutup (CCTV) dikesan di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, polis menemukan sekeping nota bertulis 'this burn just warning, WhatsApp call Golden Now +65-8195-1124 and +65-8056-4729 and Sattle'.
Nota berkenaan katanya, ditampal di bahagian bonet belakang kereta dan dihantar ke Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bagi proses penimbulan cap jari.
Sohaimi berkata, mangsa tinggal di rumah teres satu tingkat itu bersama ibu dan abangnya sejak November 2013.
Katanya, mangsa mahupun ahli ahli keluarga menafikan memiliki musuh atau berhutang sepanjang tinggal di kawasan perumahan itu.
"Namun berdasarkan nota yang ditinggalkan, dipercayai penghuni lama ada berhutang dengan peminjam wang," ujar beliau.
Menurut Sohaimi, kejadian mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM1,200.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan polis masih memburu individu yang melakukan perbuatan itu," katanya.
Sementara itu, tinjauan di rumah mangsa mendapati pagar kediamannya turut ditampal notis dipercayai perbuatan ceti haram.