PORT DICKSON - Kebiasaannya pada majlis perkahwinan Melayu tentunya ia penuh dengan adat tradisional di mana pasangan pengantin akan diraikan dengan alunan pukulan kompang.
Namun, sepasang suami isteri di sini mencipta kelainan dalam majlis perkahwinan dua anak mereka apabila menjemput penari tarian singa untuk mengadakan persembahan.
Malah ia juga kejutan istimewa Mohamad Zamrin Mohamad Jabor, 51, dan Ailis Misliza Matsom, 51, buat anak mereka Nornabila, 28, dan suami Zaid Amir Badarudin, 24, serta Norizzuddin, 26, dan isteri Sharifah Nur Amiera Azhar, 26.
Menurut Mohamad Zamrin, idea menampilkan tarian singa itu tercetus bagi meraikan semangat perpaduan di negara ini ditambah pula kedatangan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
"Lagi pun dalam majlis rasmi begini ada tetamu dari pelbagai kaum dan saya terfikir apalah salahnya saya buat kelainan dalam majlis istimewa anak-anak saya.
"Tujuan utama saya ialah nak meraikan semangat perpaduan di negara kita dan nampaknya ia berjaya mencuri perhatian tetamu yang datang," katanya ditemui pada majlis perkahwinan tersebut diadakan di Laman Sri Pinang di sini pada Ahad.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Port Dickson itu berkata, bagi merealisasikan hasratnya itu, dia turut mendapat bantuan daripada rakan-rakannya.
Ujarnya, majlis perkahwinan anak pertama dan keduanya itu semestinya akan menjadi kenangan terindah yang akan diingati sampai bila-bila.
"Maklum balas dari kawan-kawan pun ramai yang puji kata ia lain dari yang lain," katanya.