SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya mempertimbangkan kriteria minimum bagi kelayakan permohonan pengampunan susulan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) berkata, kes membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu perlu dilihat sebagai detik penting bagi negara dalam usaha pelaksanaan reformasi untuk sistem perundangan termasuk dari segi proses pengampunan.
"Kita mesti bersedia untuk menyedari bahawa proses pengampunan harus menjalani pembaharuan yang sewajarnya untuk lebih mencerminkan keperluan negara.
"Had yang sesuai harus diperkenalkan untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan untuk semua. Seperti tempoh minimum mandatori untuk menjalani hukuman penjara sebelum permohonan pengampunan boleh dipertimbangkan dan sekatan terhadap pemberian pengampunan jika pendakwaan jenayah lain yang serupa masih belum selesai terhadap individu tersebut,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.
Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut, Malaysia perlu mencontohi negara luar yang mempunyai set panduan prinsip dalam menentukan permohonan pengampunan.
"Contohnya, negara Kanada menetapkan ‘tempoh menunggu’ minimum bagi yang layak memohon dan perlu mengemukakan bukti ketidakadilan yang besar atau kesusahan tidak wajar yang timbul akibat daripada sifat hukuman atau sabitan,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu lagi, kerajaan juga digesa agar mempercepatkan pelaksanaan cadangan reformasi yang telah lama wujud, seperti undang-undang untuk mengawal pembiayaan politik, pemisahan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Pengurangan hukuman Najib menghantar mesej kepada masyarakat antarabangsa, beberapa negara yang mungkin telah terjejas oleh sifat rasuah rentas sempadan ini, bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak mengambil berat tentang rasuah yang berlaku di dalam dan di luar Malaysia bahawa politik yang berlaku di dalam sempadan kita mengatasi pertimbangan hubungan antara kerajaan.
"Itu belum lagi bercakap tentang kesannya terhadap status sosioekonomi Malaysia, berikutan bagaimana ini akan menjejaskan hubungan kerajaan dengan sektor swasta di peringkat domestik dan antarabangsa,” jelasnya.
Pada Sabtu, UMNO dilaporkan akan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi mendapatkan pengampunan penuh Najib.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Urusetia Lembaga Pengampunan pada Jumaat, jumlah denda yang perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 70, yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.
Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang menyaksikan pengampunan diraja adalah satu-satunya harapan beliau untuk membebaskan diri.