Pempengaruh diingatkan hati-hati kendali podcast - Fahmi

Iklan
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bergambar bersama panel sesi forum ketujuh bertajuk ‘Tech Talk, Malaysian Communication Summit-Charting the Future Together’ pada Youth Empowerment Fair 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Ahad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan pempengaruh untuk mengawal secara kendiri dan berhati-hati apabila mengendalikan podcast atau memuat naik kandungan di media sosial supaya tidak memberikan kesan kepada masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa serta meneliti sebarang tindakan sekiranya perlu terhadap mereka yang membuat kandungan kurang membina.

Iklan
Iklan

"Waktu ini kita belum lagi melihat ada keperluan (untuk tindakan). Saya setuju dengan saudara Khairy Jamaluddin, kepada pempengaruh perlu faham apa kuasa pengaruh kita.

"Kita harap industri dapat kawal secara kendiri tetapi sekiranya keadaan bertambah serius kita perlu meneliti tindakan yang perlu diambil," katanya selepas melancarkan Youth Empowerment Fair (YEF2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Ahad.

Iklan

Fahmi mengulas mengenai tindakan segelintir pempengaruh yang membuat kandungan kurang membina sehingga boleh menjejaskan masyarakat.

Sebelum ini penyampai radio Hot FM yang juga bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menasihatkan pengendali podcast untuk peka isu sensitif dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai topik yang ingin dibincangkan.

Iklan

Fahmi turut meminta ibu bapa untuk memantau kandungan media sosial yang diperoleh oleh anak-anak agar tidak terpengaruh.

"Insya-Allah, kita akan selaraskan beberapa tindakan kerjasama yang boleh diusahakan sekali dengan Kementerian Pendidikan," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkaitan pelaksanaan jawatankuasa teknikal melibatkan isu keselamatan dalam talian, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Fahmi, keselamatan kanak-kanak menjadi keutamaan kerajaan dengan satu daripada fokus adalah untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang sedia ada menerusi media sosial.

"Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan selaraskan dengan beberapa kementerian untuk melihat dari segi perundangan apa yang perlu dipinda atau diwujudkan serta tindakan-tindakan yang perlu diambil sekarang," katanya.

Pada masa sama, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok selepas perayaan Tahun Baharu Cina, serta beberapa pengendali media sosial lain untuk membincangkan isu keselamatan kanak-kanak dalam talian. - Bernama