AKTRES popular Indonesia era 90-an, Ria Irawan disahkan meninggal dunia akibat kanser limfoma hari ini.
Menurut laporan Tribun News, berita duka itu dimaklumkan oleh suaminya, Mayky Wongkar ketika dihubungi pemberita.
Selain itu, kenalan artis turut memuat naik berita sedih tersebut di Instagram mereka.
Ria, yang terkenal dengan filem Pelangi di Hatiku dan Berbagi Suami itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 4 pagi di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo, Jakarta Pusat.
Menurut Mayky, isterinya yang berusia 50 tahun itu meninggal dunia akibat sel kanser yang kembali menyerang di beberapa bahagian badan isterinya.
Sebelum ini, pelantun 'Cahaya Ilahi' berjuang melawan kanser sejak 2004 dan disahkan sembuh pada 2014 menerusi rawatan kimoterapi.
Bagaimanapun pada Mac lalu, kesihatan Ria semakin merosot kerana sel kanser pula menyerang di bahagian kepala dan paru-paru.
Mayky memberitahu, sel kanser berkenaan merebak dengan pantas sehingga menyebabkan Allahyarham terlantar di hospital.
Difahamkan, jenazah Ria akan disemadikan di Lebak Bulus, Jakarta Selatan.