SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon presiden, Anies Baswedan dan calon wakil presidennya, Muhaimin Iskandar diyakini merupakan gabungan berpengalaman dalam membawa perubahan sekaligus mensejahterakan rakyat Indonesia.
Ketua Parti Nasional Demokrat (NasDem) Malaysia, Tengku Adnan Tengku Azlan berkata, kedua-dua tokoh yang diusul itu terpilih kerana masing-masing mempunyai pengalaman dan kebolehan tersendiri sama ada di dalam atau luar negara.
"Anies adalah seorang pakar akademik, tokoh pergerakan dan lengkap pengalamannya dalam bidang pemerintahan sebagai gabenor Jakarta, mahu pun pernah (mempunyai pengalaman) sebagai menteri.
"Beliau juga pernah belajar di beberapa negara sehingga dengan pengalaman dan modal persahabatan yang ada, baik di dalam atau luar negeri, kami yakin peranan Indonesia ke depannya akan jauh lebih strategik kerana Anies dan Muhaimin juga menguasai beberapa bahasa asing selain Bahasa Indonesia.
"Seperti Anies, beliau menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan Muhaimin juga menguasai Bahasa Arab sehingga kedua tokoh ini siap memimpin bangsa Indonesia ke depan serta mampu mempengaruhi para pemimpin dunia lain untuk kepentingan Indonesia dan bangsa-bangsa seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam program Berani Semuka Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024: Indonesia Pilih Siapa? di Kompleks Karangkraf pada Ahad.
Program yang menampilkan Amin Idris selaku moderator itu mengetengahkan tiga wakil pasukan calon Presiden Pilpres, terdiri daripada orang-orang muda yang bakal memberi penjanaan semula dimensi politik Indonesia dan Malaysia.
Tengku Adnan bersama Ketua AMIN Muda Malaysia (Tim Sukses), Sayyid Sanjaya Nur Wakhid merupakan wakil pasukan bagi Anies.
Sementara itu, calon Presiden, Prabowo Subianto diwakili oleh Ketua Parti Amanat Nasional (PAN) Malaysia, Muliadi Baharuddin Yusuf dan Ketua Parti Solidaritas Indonesia (PSI) Malaysia, Mahfud Budiono manakala calon Presiden, Ganjar Pranowo pula diwakili oleh Pengerusi Muda Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Malaysia, Mansurni Abadi dan Ketua Parti Perindo Malaysia, Muhammad Tohong Hasibuan.
Dalam pada itu, Sayyid Sanjaya berkata, calon presiden perlu dilihat berdasarkan beberapa kriteria penting termasuk dari segi trek rekod kepemimpinannya sebelum ini.
Menurutnya, kriteria itu penting bagi memastikan rakyat Indonesia merasai kesetaraan dan pembangunan dalam semua aspek kehidupan sosial.
"Anies masuk dalam kategori 500 Muslim berpengaruh, beliau antara 31 tokoh yang boleh menghasilkan transformasi terbaik di Jakarta. Beliau juga termasuk dalam 20 tokoh masa depan yang sangat dinantikan.
"Tidak lupa Muhaimin, beliau juga membuat (penerbitan) banyak buku. Dan ini cara kita memilih calon presiden dan wakil presiden dengan melihat trek rekod, gagasan, visi dan misi yang komprehensif.
"Tidak lupa juga berpihak kepada rakyat dan keadilan untuk seluruh rakyat Indonesia,” jelasnya.