PEMENANG dua pingat Sukan Olimpik, Datuk Pandelela Rinong terlepas peluang untuk layak ke acara 10 meter (m) platform Sukan Olimpik Paris 2024 selepas persembahan hambar pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, hari ini.
Pandelela hanya menduduki tempat ke-29 dengan 231.15 mata, ketinggalan 204.05 mata di belakang juara dunia Chen Yuxi (435.20 mata).
Hanya 18 penerjun terbaik pusingan awal layak ke separuh akhir yang akan berlangsung esok dan kekal dalam persaingan untuk 12 tiket kelayakan ke Sukan Olimpik yang ditawarkan pada kejohanan itu.
12 penerjun terbaik dari Kejohanan Dunia Fukuoka 2023 telah pun layak ke Paris 2024, manakala satu lagi slot untuk juara benua yang masih belum ditentukan.
Seorang lagi wakil negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj turut terlepas kelayakan Paris selepas menduduki tempat ke-44 dalam kalangan 46 peserta, dengan hanya mengumpul 167.55 mata.
Pandelela, 30, yang menang gangsa 10m platform pada Sukan Olimpik London 2012 dan perak acara 10 platform seirama wanita dengan Cheong Jun Hoong pada Sukan Rio 2016, mengharapkan untuk beraksi di Sukan Olimpik kelima berturut-turutnya, sejak penampilan sulungnya pada edisi Beijing 2008.
Walaupun terlepas kelayakan dalam acara individu, Pandelela masih berpeluang layak menerusi acara 10m platform seirama wanita, apabila berpasangan dengan Nur Dhabitah Sabri pada Selasa.
Empat tempat Olimpik ditawarkan untuk acara seirama di Doha, selepas tiga telah diambil semasa edisi Fukuoka. - Bernama