SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Rakyat Indonesia perlu bersiap sedia menyahut seruan calon Presiden, Prabowo Subianto dan wakilnya, Gibran Rakabuming dengan membuang undi demi mencapai visi Indonesia Emas menjelang 2045.
Ketua Parti Amanat Nasional (PAN) Malaysia, Muliadi Baharuddin Yusuf berkata, visi itu boleh direalisasikan menerusi strategi yang dilakukan oleh Prabowo sepanjang kempennya iaitu mendekati rakyat secara santai meskipun beliau mempunyai latar belakang ketenteraan.
"Beliau sudah mencalonkan diri sebagai calon presiden (Capres) Republik Indonesia sebanyak dua kali, jadi Prabowo ingin ubah strategi untuk mengambil hati rakyat
"Di hadapan rakyat, mantan jeneral ini mahu tampil lebih santai agar kemajuan Indonesia tercapai menjelang 2045.
"Tidak semestinya tak boleh jadi tegas, tetapi pendekatan harus lebih manusiawi dan tak memberi stres sebab rakyat dah banyak bebanan. Politik sekarang perlu santai,” katanya ketika menjawab hujah daripada Ketua Parti Nasional Demokrat (NasDem) Malaysia, Tengku Adnan Tengku Azlan.
Beliau berkata demikian ketika program Berani Semuka PILPRES 2024: Indonesia Pilih Siapa? secara langsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Ahad.
Program yang menampilkan Amin Idris selaku moderator itu mengetengahkan tiga wakil pasukan Capres Pilihan Raya Presiden (Pilpres), terdiri daripada orang-orang muda yang memberi penjanaan semula dimensi politik Indonesia dan Malaysia.
Muliadi bersama Ketua Parti Solidaritas Indonesia (PSI) Malaysia, Mahfud Budiono yang mana masing-masing mewakili pasukan bagi calon presiden, Prabowo dengan nombor parti 02 dan turut menampilkan lapan agenda dipanggil ‘Asta Cita’.
Antaranya memperkukuh ideologi Pancasila, demokrasi, dan hak asasi manusia; memperkuatkan reformasi politik, undang-undang, rasuah serta dadah: memperhebat pembangunan sumber manusia, sains, teknologi, pendidikan, kesihatan, prestasi sukan dan kesamarataan jantina; melanjutkan strategi dan industrialisasi bagi meningkatkan nilai tambah; meratakan ekonomi dan membanteras kemiskinan.
Selain itu, memantapkan sistem pertahanan keamanan negara dan mendorong kemandirian bangsa melalui swasembada pangan (kecukupan makanan), ekonomi kreatif, hijau dan udara; meningkatkan kawasan kerja berkualiti, keusahawanan, industri kreatif dan perkembangan infrastruktur juga penyelarasan kehidupan yang harmoni.
Para panelis lain terdiri daripada wakil pasukan Capres Anies Baswedan iaitu Tengku Adnan dan Ketua AMIN Muda Malaysia (Tim Sukses), Sayyid Sanjaya Nur Wakhid manakala Ganjar Pranowo pula diwakili oleh Pengerusi Muda Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Malaysia, Mansurni Abadi serta Ketua Parti Perindo Malaysia, Muhammad Tohong Hasibuan.
Dalam pada itu, Mahfud meminta agar rakyat Indonesia yang berada di Malaysia untuk turun membuang undi pada 11 Februari ini bagi memilih Capres yang berwibawa dan mampu memajukan negara berkenaan.
Tambah beliau, pihaknya yakin dengan memilih Prabowo yang mempunyai rekod bersih akan membawa kepada kesejahteraan kehidupan bangsa pelbagai suku dan etnik.
"Saat ini, Indonesia memerlukan kalian untuk memilih pemimpin yang tegas dan membawa kita menuju Indonesia Emas 2045, tentukan pilihan anda serta jangan ragu-ragu lagi dengan Prabowo,” ujarnya.