PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berdepan cabaran dalam usaha memastikan Malaysia mempunyai pelapis yang sama taraf atau lebih berkualiti berbanding skuad Harimau Malaya yang ada ketika ini.
Bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar berkata, pasukan kebangsaan ketika ini adalah antara pasukan terbaik dimiliki ketika era bola sepak moden di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Menurutnya, kebimbangan timbul mengenai masa depan skuad Harimau Malaya ketika beberapa pemain tonggak utama sudah berada pada penghujung karier.
"Saya risau kerana kita terlalu berharap kepada pemain yang ada sahaja sekarang ini.
"Kita kena tengok untuk masa depan dan pemain pelapis yang bersedia untuk menggantikan pemain yang sudah tidak dapat beraksi nanti. Kita tidak mahu pasukan kebangsaan kita hanya bagus dalam tiga atau empat tahun sahaja.
"Tetapi, bila berakhir pasukan yang ada ini, taring Harimau Malaya sudah hilang. Kita tak nak macam tu dan kena ada kesinambungan untuk masa depan," katanya kepada Sukan Sinar.
Skuad negara tampil menyerlah dalam dua tahun kebelakangan ini dengan deretan keputusan positif termasuk berjaya mengejutkan pasukan di ranking lebih baik selain menamatkan penantian 43 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia.
Gabungan pemain tempatan, kacukan dan naturalisasi hanya mampu mengakhiri kejohanan terbesar Asia itu pada kedudukan tercorot.
Namun, di sebalik pengalaman pahit tersebut skuad negara yang berada pada ranking ke-130 dunia tampil cemerlang untuk mengikat pasukan Korea Selatan yang berada di ranking ke-23 dunia.
Ketika semua mata tertumpu kepada kualiti dimiliki Harimau Malaya, beberapa pemain sedang meniti penghujung karier seperti Corbin Ong yang kini berusia 32 tahun, Brendan Gan (35 tahun), Junior Eldstal (32 tahun), Darren Lok (32 tahun), Endrick Dos Santos (31 tahun), Paulo Josue (34 tahun) dan Shahrul Saad (30 tahun).
Justeru, Hairuddin yang juga jurulatih Terengganu FC II mengharapkan tindakan segera perlu dilakukan dalam usaha memastikan negara tidak ketandusan bakat untuk menyarung jersi pasukan negara.
"Semua pihak perlu bersama-sama dalam hal ini dan kita tidak boleh menunding jari kepada FAM semata-mata. Saya percaya kita mempunyai ramai pemain yang berbakat untuk dicungkil," katanya.