Haiqal idam lakar kejutan

Iklan
Muhammad Haiqal meraikan kejayaan menjuarai acara 100 meter lelaki akhir pada Sukan SEA Filipina 2019 lalu.

JAGUH pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi mengintai untuk cuba melakar kejutan memenangi pingat pada Kejohanan Dalam Dewan Asia Kesembilan di Hangzhou, China pada 12 dan 13 Februari depan.

Menurutnya, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran, beliau akan tetap cuba membuat larian terbaik seperti yang dilakukan pada Sukan SEA Filipina baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Kejohanan terdekat bulan Februari ini iaitu kejohanan Asia Indoor di China dalam acara 60 meter (m). Tetapi saya tidak meletakkan sasaran cuma mahu melihat catatan masa sahaja.

"Namun, jika saya buat yang terbaik, tidak mustahil saya akan dapat pingat dan ia adalah bonus kepada saya," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pada Sukan SEA Filipina baru-baru ini, Muhammad Haiqal melakukan kejutan meraih pingat emas dalam acara 100m sekali gus menobatkannya sebagai pelari terpantas di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu terlalu bangga dengan kejayaan tersebut dan melihat perjalanannya masih panjang untuk dirintisnya.

Iklan

"Apa yang saya fikirkan sekarang ini saya tidak perlu berasa bangga dengan pencapaian saya sekarang ini. Apa yang saya perlu buat adalah terus fokus dalam latihan kerana kemenangan di Sukan SEA adalah untuk saya bangkit dan terus bangkit pada tahun yang akan datang," katanya.

Dalam pada itu, dia juga bersedia sekiranya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ingin menghantarnya berlatih ke luar negara.

"Sekiranya KOM ingin menghantar saya berlatih di luar negara saya akan pergi sebab ia langkah terbaik untuk saya memperbaiki catatan masa dan memperbaiki teknik larian saya.

"Namun, saya juga berharap jurulatih Mohd Poad Md Kassim akan dapat turut serta kerana beliaulah yang menaikkan nama saya sehingga ke tahap ini," katanya.