JAKARTA - Calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berjanji akan membangunkan 300 fakulti kedoktoran jika terpilih memegang jawatan tersebut.
Perkara itu dinyatakan Prabowo dalam debat kelima pemilihan presiden di Jakarta Convention Center (JCC) pada Ahad.
Menteri Pertahanan dalam kabinet Joko Widodo itu memaklumkan bahawa pembangunan fakulti kedoktoran itu dilakukan demi mengatasi kekurangan doktor di negara tersebut.
"Kami akan segera mempercepat mengatasi kekurangan doktor di Indonesia. Kita kekurangan 140,000 doktor dan akan segera kita atasi," katanya.
Sementara seorang lagi calon Presiden Indonesia, Ganjar Pranowo berjanji akan membangunkan satu fasiliti kesihatan dan satu tenaga kesihatan di setiap kampung jika terpilih mengetuai pentadbiran Indonesia kelak.
Menurut Ganjar, program"1 Desa, 1 Faskes, 1 Nakes" penting untuk memberikan layanan kesihatan yang terbaik bagi masyarakat di desa.
Beliau memaklumkan, program tersebut bakal membuat anak-anak, warga emas dan masyarakat adat mendapat layanan kesihatan yang sama.
"Tentu saja akses kesihatan yang diperlukan di setiap desa, kenapa Ganja-Mahfud membuat '1 Desa 1 Faskes 1 Nakes', kerana kami ingin mereka mendapatkan yang terbaik.
"Di mana di daerah-daerah terpencil mereka sangat memerlukan akses ini," katanya.
Sementara itu, Anies Baswedan pula menegaskan, bantuan sosial (bansos) harus diberikan demi kepentingan rakyat yang memerlukan.
"Bila memerlukan, diberikan bansos (bantuan sosial) sesuai dengan keperluan. Bansos Plus. Bukan memberikan bansos untuk kepentingan yang memberi, tapi untuk kepentingan yang diberi," katanya.
Bekas Gabenor Jakarta itu menjelaskan, setiap keluarga yang memerlukan harus diberikan bantuan sosial keperluannya.
Anies menjelaskan, jika terpilih beliau akan memastikan rakyat Indonesia hidup dengan sihat dan sekiranya ada yang sakit akan segera mendapat bantuan.
"Tumbuh cerdas dengan biaya terjangkau. Keluarga sejahtera kerana upahnya layak.
"Dan warganegara yang bangga dengan negaranya kerana dijaga budayanya dan etikanya dijaga tinggi. Kita menginginkan persatuan kerana ditopang (disokong) rasa keadilan," katanya lagi.
Debat calon presiden ini mengangkat beberapa tema antaranya kesejahteraan sosial, kebudayaan, pendidikan, teknologi maklumat, kesihatan, tenaga kerja dan inklusi. - Awani