SEREMBAN - Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berikutan kenyataannya yang menyindir keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara itu secara dasarnya menunjukkan yang beliau tidak menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan ia ternyata biadab.
"Ia juga boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam kalangan masyarakat. Saya harap Tony Pua dikenakan tindakan dan dihadapkan ke mahkamah atas kenyataan yang secara totalnya menyalahi undang-undang negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Richiamo Petronas Tiara Sendayan di sini pada Ahad.
Menurutnya, semua pihak seharusnya menghormati keputusan tersebut dan tidak sepatutnya mempertikaikannya.
Ujarnya, jika ia dilakukan, maka tindakan boleh dikenakan di bawah Akta Hasutan 1948.
"Bagi pihak UMNO, tentunya kita harapkan sesutau yang lebih baik untuk diterima oleh Najib, tapi bagi pihak UMNO Negeri Sembilan, kita menjunjung kasih keputusan Yang di-Pertuan Agong.
"Tapi tentunya ada ruang selepas ini dan kita harapkan pihak kerajaan dapat kemukakan semula rayuan pengampunan terhadap Najib pada masa akan datang," katanya.
Tony yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya memuat naik hantaran di Facebook miliknya yang menyindir keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.
Malah beliau telah meneruskan sindirannya pada hantaran lain dengan secara sinis mengakui telah 'bertaubat' atas ketelanjuran yang dilakukan susulan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu membuat laporan polis susulan dakwaannya mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu Jalaluddin turut menyangkal dakwaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil yang isu pengampunan Najib akan beri tekanan hubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.