TAMBUNAN - Sebuah rumah rosak akibat dirempuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan dua motosikal dalam kejadian di Kampung Dalab Pantai di sini pada malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, lapan individu terdiri daripada dua penunggang motosikal, dua penghuni rumah dan empat yang lain termasuk dua kanak-kanak berusia empat dan lima tahun berada di dalam kereta jenis Proton Saga BLM turut mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.05 malam.
Menurutnya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kemalangan yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Tambunan.
"Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta yang berlanggar dengan dua motosikal dan seterusnya terbabas melanggar sebuah rumah berhampiran.
"Kejadian itu menyebabkan kerosakan sebuah bilik rumah tersebut di mana dua penghuni di dalamnya bersama empat individu dalam kenderaan mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi penunggang motosikal turut dilaporkan cedera," katanya.
Sehubungan itu, Mitchell berkata, rawatan awal diberikan kepada semua mangsa oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.
"Mangsa yang cedera seterusnya dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Operasi ditamatkan pada jam 10.20 malam selepas pasukan bomba memastikan lokasi kejadian selamat," katanya.