MELAKA - Pembantu jurutera kilang maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Perodua Viva yang membelok di lampu isyarat Taman Paya Emas, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput- Ayer Keroh (AMJ), di sini malam Ahad.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, Amir Asyraaf Abdul Zalil, 24, yang menunggang motosikal Yamaha YZF-R15M meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dari arah Batu Berendam menghala ke Masjid Tanah dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
"Setibanya di loksi, kereta dipandu Shahrom Nizam Sukri, 38, dari arah Sungai Udang secara tiba-tiba membelok ke arah kanan jalan menyebabkan berlakunya perlanggaran.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang beralamat di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta turut parah di kepala menerima rawatan di Hospital Melaka," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan notis permintaan pemeriksaan mayat (Pol 61) dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
"Terdapat rakaman kamera perakam video dari awam dan siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.