REMBAU - Ketika kebanyakan peniaga lain memilih untuk menaikkan harga jualan berikutan kenaikan harga barang di pasaran, sepasang suami isteri di sini memilih untuk kekal menjual secucuk sate pada harga serendah 70 sen.
Niat Noriza Heryati Mohamad Zukri, 40, dan suami, Izzat Amir Adam, 45, menjual sate dengan harga mampu milik berkenaan bagi membolehkan semua orang dapat merasanya.
Terdapat enam jenis sate yang dijual di gerainya di Taman Dato Lela Maharaja Chembong di sini termasuk sate perut RM1.20 secucuk dan sate pedal ayam RM1.30 secucuk.
Menurut Noriza, dia mula berniaga sate sejak dua tahun lalu yang mana pada awalnya ia sekadar suka-suka bagi menambah pendapatan keluarga.
"Awalnya kita ambil sate dari abang ipar saya di Melaka yang sememangnya berniaga sate lebih 10 tahun, tapi sekarang kami buat sendiri sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Ujarnya, sejak dari awal berniaga, harga sate ditetapkannya serendah 70 sen dan ia kekal sampai sekarang kerana merasakan ia berpatutan.
Tambahnya, walaupun menjualnya dengan harga murah, dia masih boleh mendapat untung kerana bergantung kepada kuantiti yang dijual.
"Setiap hari, sebanyak 800 cucuk sate akan habis terjual. Semestinya sate ayam dapat permintaan tinggi yang biasanya terjual 500 cucuk setiap hari.
Noriza bagaimanapun mengakui kenaikan harga barang sekarang agak membebankan, namun dia dan suami belum terfikir untuk menaikkan harga sate yang dijual.
Ujarnya, walaupun harga satenya murah, namun kualiti tetap dijaga dan saiz satenya juga tidaklah terlalu kecil.
"Sekarang ini kebanyakan peniaga jual sate RM1 ke atas, tapi sebenarnya ada yang jual lagi murah dari kami dan abang ipar saya pula sejak mula berniaga sampai sekarang dia jual serendah 50 sen secucuk.
"Sate ini kami perap semalaman supaya rasanya lebih sedap dan kita buat setiap hari. Alhamdulillah pelanggan kami bukan saja dari Negeri Sembilan, tapi juga dari luar," katanya.
Selain berniaga di gerainya, Noriza juga turut menerima tempahan membakar sate di rumah pelanggan untuk majlis-majlis tertentu