PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mengurangkan kerenah birokrasi dalam meluluskan permohonan mendapatkan bantuan ditawarkan kementerian itu kepada rakyat demi menjamin bekalan makanan mencukupi dan menstabilkan harga makanan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu sekali gus mempercepatkan proses kelulusan permohonan sesuatu bantuan terutama kepada dua kelompok sasaran, pesawah dan nelayan.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkenaan untuk melakukan semakan keseluruhan terhadap polisi penyampaian perkhidmatan MOA.
"Bila kita dapat pendekkan rantaian birokrasi itu, lebih cepat bantuan sampai kepada rakyat dan bila rakyat dapat segala bantuan yang diperlukan, mereka cepat dapat keluarkan hasil dan produktiviti juga meningkat.
"Maka ia akan mencapai matlamat MOA itu sendiri untuk membekalkan bekalan makanan yang secukupnya kepada rakyat dan negara serta tidak ada lagi alasan peniaga untuk menaikkan harga barang keperluan khususnya makanan kerana kita sudah sediakan bekalan yang cukup," katanya selepas menyampaikan amanat 2020 warga kementerian itu di Dewan Serbaguna Wisma Tani di sini hari ini.
Menurut beliau, satu prosedur operasi standard (SOP) baharu juga akan diperkenalkan supaya semua permohonan dikemukakan dapat dipercepatkan proses kelulusannya.
"Keseluruhan polisi penyampaian harus kita semak. Contohnya kita tengok berapa lama masa diperlukan untuk kelulusan lesen dari mana-mana jabatan atau agensi kerajaan di bawah MOA.
"Dengan kecanggihan sistem yang kita miliki, mungkin dalam tempoh dua minggu atau seminggu, permohonan itu sudah boleh selesai diproses," katanya.
Sementara itu, Salahuddin memberitahu, beliau akan meminta Kabinet meneruskan Operasi Naga kerana ia terbukti sangat berkesan untuk memulihara hasil laut dan menjamin nelayan tempatan mendapat hasil pendapatan lumayan kerana kemasukan bot nelayan asing dapat dibendung.
Katanya, kira-kira 178 bot nelayan asing berjaya ditahan sehingga akhir Disember lalu sejak operasi itu dilancarkan pada 24 April tahun lepas.
"Lepas lebih enam bulan operasi ini dilaksanakan, ia terbukti sangat berkesan kerana dari usaha turun padang yang kita lakukan di Mersing, Kuantan, Rompin dan Kemaman, nelayan memberi maklum balas bahawa hasil tangkapan diperoleh mereka banyak dalam tempoh tiga bulan sebelum musim tengkujuh.
"Operasi ini bukan sekadar kita tahan bot-bot asing tapi kita turut rampas peralatan menangkap ikan yang musnahkan ekosistem seperti pukat harimau dan pukat jerut," katanya.