'Saya buat kerja gila' - Azizulhasni

Iklan
Azizulhasni mengungguli acara keirin UCI di Adelaide pada Sabtu. Foto EPA

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang dibelenggu masalah kesihatan menyifatkan kejayaan meraih pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Australia pada Sabtu sebagai sesuatu yang tidak pernah terbayang di benak fikirannya.

Malah beliau yang perlu mengambil ubat perikarditis (keradangan jantung) menyifatkan ia sebagai 'kerja gila' kerana mengambil risiko biarpun masih mengalami kesakitan, namun demi negara tercinta beliau tekad meneruskan perlumbaan untuk memburu mata ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Iklan
Iklan

Pelumba berusia 36 tahun itu turut mendedahkan bahawa dia hadir dalam perlumbaan tersebut bukan dengan prestasi terbaik selain berdepan beberapa perkara lain yang terpaksa ditempuh sebelum terbang ke Adelaide dari Kuala Lumpur.

"Saya buat kerja gila. Saya ambil risiko sekali lagi demi negara tercinta. 'John, I still want to go to Adelaide and we will see how it goes there' saya telefon John Beasley di Malaysia.

Iklan

"Percaturan saya, kalau tak menang pun, at least dapat tempat tercorot pun masih memberikan sedikit mata bagi mengimbangi kutipan mata saya.

"Janji saya pada isteri, kalau saya terasa sakit yang melampau dan berasa keterlaluan saya akan terus berhenti, tidak kisahlah walaupun ketika perlumbaan,” catat beliau menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Dalam saingan akhir itu Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman tampak bersahaja apabila kayuhannya mengatasi dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota, masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Pelumba yang berasal dari Terengganu itu melepasi garisan penamat dengan catatan 9.910 saat dalam acara yang berlangsung di Adelaide Super-Drome.

Azizulhasni turut mengimbas detik cemas sebelum 'terbang' ke Australia termasuk mengalami sesak nafas dan sakit dada.

"Saya terbang ke sini untuk menyertai pertandingan tempatan dengan pelumba-pelumba Australia sebagai pemanas badan.

"Selepas perlumbaan terakhir saya mengalami sesak nafas dan sakit dada. Ditambah dengan seperti hendak pitam dan penat yang teramat. Apabila pulang ke Melbourne, saya menceritakan apa yang berlaku kepada isteri dan terus beliau menghubungi doktor kami.

"Atas nasihat beliau saya terus ke wad kecemasan di hospital berdekatan. Selepas enam jam di wad kecemasan, doktor diagnosed yang saya mengalami ‘Pericarditis’,” katanya.

Beliau juga menjelaskan telah dijangkiti virus ketika pulang ke Malaysia pada awal Disember tahun lalu yang menyebabkan badannya berasa lemah.

"Awal Disember 2023 lalu saya ada pulang ke Malaysia sekejap. Sehari sebelum saya terbang pulang ke Melbourne saya telah dijangkiti virus. Saya berasa longlai gemalai tanpa ada demam dan batuk.

"Di Melbourne pun dalam dua minggu saya masih rasa lemah dan lesu sangat. Dalam keadaan macam tu saya sertai dua kejohanan tempatan dan rasa prestasi saya seperti 50 peratus.

"Seperti saya tak cukup latihan walaupun saya kekal konsisten dan disiplin dengan rutin latihan setiap hari. Selepas membuat ujian darah barulah doktor mendapati badan saya tengah melawan virus,” katanya.

Azizulhasni tidak mempunyai pilihan untuk berehat kerana perlu meneruskan latihan dan wajar kekal beraksi dengan cemerlang untuk musim tahun ini bagi mengekalkan ranking serta mendapat mata yang selesa untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Sehinggalah saya menyertai perlumbaan pemanas badan di Adelaide tu, barulah gejala semakin jelas. Saya mendapat jawapan dari hospital yang menasihatkan untuk berehat selama empat hingga enam minggu.

"Saya juga dinasihatkan oleh pelbagai pihak untuk tidak meneruskan latihan apatah lagi menyertai pertandingan besar. Saya runsing. Tanggungjawab saya untuk negara amat besar Kalau tak training nanti performance drop.

"Nak dapat balik bukan senang, mahu sembelit dibuatnya. Kalau tak bertanding pula, takut merencatkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik. Parah. Berhari-hari saya tidur tak lena, mandi tak basah. Nasib baik ada isteri tersayang dan anak-anak yang menjadi penenang ketika resah,” katanya.