KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti sebanyak 10 kawasan berisiko terbakar ekoran fenomena El Nino yang diramal berlaku bermula April depan.
Pengarahnya, Hassan 'As'ari Omar berkata, 'lokasi panas' itu melibatkan empat daerah yang pernah merekodkan kes kebakaran antaranya kebakaran belukar, lalang dan hutan sepanjang tahun lalu.
Ujar beliau, antara lokasi tumpuan ialah Kampung Jambu Bongkok dan Kampung Kelulut di Marang; Rantau Abang di Dungun; Kg Telaga Papan, Lembah Bidong, Kg Saujana dan Kg Merang di Setiu serta Kg Gong Badak, Kg Batu Rakit dan Kg Tok Jembal di Kuala Nerus.
"Statistik kebakaran tahun lepas agak tinggi, sebanyak 485 kes direkodkan bermula Januari hingga 16 April 2023. Tahun ini, kita jangka musim Monsun Barat Daya akan bermula tidak lama lagi menyebabkan fenomena El Nino melanda negara.
"Apabila El Nino berlaku, hujan akan berkurangan, udara kering dan cuaca agak panas menyebabkan kes-kes kebakaran hutan, lalang, kebun-kebun akan bertambah," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sijil penghargaan sempena perhimpunan tahunan Bomba Kuala Terengganu, di sini, pada Isnin.
Menurut Hassan 'As'ari, beberapa langkah awal telah diambil bagi menghadapi fenomena itu antaranya kolaborasi bersama agensi-agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kita telah menjalankan kolaborasi bersama agensi lain secara serius mengenai persiapan untuk berdepan dengan perubahan cuaca ini.
"Kita juga menekankan aspek pencegahan dengan memberi kesedaran kepada masyarkat supaya dapat mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka yang berisiko menyebabkan berlaku kebakaran hutan," katanya.
"Selain itu, aspek perparitan dan saliran turut diberi perhatian, kita telah memantau telaga tiub yang dipasang di semua daerah di negeri ini terutama melibatkan 'kawasan panas' kebakaran," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu sebanyak 1,738 panggilan kebakaran diterima pada tahun lalu berbanding 1.024 panggilan pada 2022.
Jelas beliau, jumlah itu menunjukkan peningkatan termasuk tujuh panggilan palsu diterima sepanjang tahun 2023 berbanding hanya dua panggilan pada tahun sebelumnya.