MELAKA - Kerajaan sewajarnya menghapuskan dasar penetapan 30 peratus kuota wanita pembuat keputusan untuk pembangunan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peranan golongan wanita terutama dalam bidang profesional tidak boleh dinafikan atau disekat untuk bersama-sama dalam kelompok penggubal dasar negara.
"Tak sepatutnya ada apa-apa (had) siling (seperti) dari segi 30 peratus. Kalau dalam sektor awam kita dah sampai 42 peratus, jadi tak patut kalau nak letak 50 peratus atau apa-apa.
"Tak sepatutnya ditetapkan siling lagi, kita (wanita) sepatutnya boleh bergerak secara bebas tidak perlu disekat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja pada Program Pembangunan Wanita Tun Fatimah Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (SHWA) 2024 di Laman Wanita (LaWa), di Bandar Jasin, di sini pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan pandangan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung ramai wanita layak mengisi jawatan penting tetapi dasar had 30 peratus kerajaan telah menghalang potensi golongan terbabit.
Nancy yang turut bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Wanita UMNO itu berkata, wanita tidak sepatutnya diibaratkan sebagai 'kekabu untuk memenuhkan ruang dijadikan bantal.'
"Negara telah melahirkan ramai golongan wanita yang berkelayakan bukan sahaja dalam bidang akademik malah pengalaman untuk mereka berada di peringkat lebih tinggi.
"Maksud beliau (Rafidah) jangan kita berhenti kepada 30 peratus sahaja, kita mempunyai ramai wanita yang layak naik ke atas sana untuk jadi pembuat keputusan.
"Kalau zaman ini saya bersama Tan Sri Rafidah, saya bersetuju, beliau telah melatih ramai wanita dan ramai lagi boleh dibawa untuk membantu," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh merekodkan peningkatan 55.9 peratus pada 2023 berbanding 55.3 peratus pada 2020.
"Peningkatan ini dijangka dapat diteruskan menerusi penyediaan persekitaran ekonomi yang kondusif dan mesra wanita," katanya lagi.