KUALA LUMPUR - Bekas calon kerusi Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Cleopatra terkejut apabila dikatakan telah berkahwin dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin setelah menerima sijil pernikahan dari Thailand, tahun lalu.
Sedangkan bekas calon Bebas atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 30, berkata, dia tidak pernah ke negara jiran terbabit untuk melangsungkan perkahwinan.
Susulan itu, dia memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, mengenai kesahihan ‘pernikahan’ dan sijil nikah itu.
"Saya mahu bersihkan imej, kerana saya tidak pernah berkahwin dengan Bakri dan mahu siasatan dilakukan pihak berkuasa mengenai sijil nikah palsu itu.
"Diharap dapat selesaikannya secepat mungkin, namun saya belum buat laporan polis. Sebenarnya saya cuba nak elak (buat laporan polis) kerana tidak mahu menjatuhkan reputasi sesiapa,” katanya selepas prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat.
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili ahli perniagaan itu berkata, anak guamnya memfailkan permohonan pengesahan kononnya berlaku perkahwinan dengan Mohd Bakri.
Menurutnya, permohonan itu dibuat bagi membersihkan imej dan mencari keadilan kerana pernikahan tersebut tidak pernah berlaku.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Nur Fathiah menyangkal dakwaan telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Bakri.
Nur Fathiah berkata, bekas polis tertinggi itu juga bukan merupakan pengerusi kepada anak syarikat miliknya.
Sebelum itu, Nur Fathiah telah memuat naik gambar dirinya dan Mohd Bakri di Instagram ketika mereka menghadiri konsert 'Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto'.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen malah gambar tersebut turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai.