Dua lagi tahanan lolos diberkas, 56 setakat petang ini

Iklan
Dua tahanan lolos dari Depot Sementara Imigresen Bidor ditahan sedang berjalan kaki di dalam kebun sawit Felda Sungai Klah, Sungkai di sini tengah hari Isnin. Foto Bernama

TAPAH - Dua pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Sementara Imigresen Bidor ditahan sedang berjalan kaki di dalam kebun sawit Felda Sungai Klah, Sungkai di sini tengah hari Isnin, menjadikan seramai 56 pendatang tanpa izin diberkas semula setakat 2 petang ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Bernama berkata, kedua-dua tahanan lelaki etnik Rohingya berusia 18 dan 23 tahun itu ditahan oleh anggota pasukan petugas Sungkai dan pasukan peronda polis.

Iklan
Iklan

Tinjauan Bernama mendapati kedua-dua tahanan itu dibawa ke lokap Balai Polis Sungkai dan Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Pada Khamis lepas, 131 Pati melarikan diri dari blok lelaki Depot Imigresen Bidor pada kira-kira 9.50 malam dan dua daripadanya meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

Iklan

Sementara itu, katanya 73 pendatang tanpa izin lagi masih diburu.

Terdahulu, Mohd Yusri berkata polis percaya baki pendatang tanpa izin itu masih berada di sekitar Tapah dan Bidor berdasarkan siasatan pihaknya terhadap tahanan yang telah diberkas. - Bernama

Iklan