BATU GAJAH - Kerajaan negeri menaja petrol percuma kepada 800 kenderaan sebagai galakan orang ramai menyokong Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pemberian itu dikhususkan kepada 300 kereta pertama dengan isian RM30 minyak RON95 dan 500 motosikal (RM5) di stesen Petronas UTP dekat Seri Iskandar pada Isnin.
Menurutnya, inisiatif menerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dengan kerjasama rakan strategik Petronas Malaysia dan Universiti Teknologi Petronas itu ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri melibatkan peruntukan RM11,500.
"Di Perak ini, walaupun kadar kemalangan tinggi, kita tetap berusaha mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang tahun 2030," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran kempen berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan.
Mohammad Nizar berkata, panduan kempen itu boleh diakses menerusi kod QR yang dicetak di atas bahan-bahan kempen yang diedar kepada pengguna jalan raya.
"Menerusi kod ini, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai tempat yang biasa berlaku kemalangan juga arahan yang perlu dipatuhi ketika berada di atas jalan raya," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sepertimana sambutan perayaan sebelum ini, hampir 3 juta kenderaan akan menggunakan laluan lebuh raya dan Jalan Persekutuan di Perak menjelang sambutan Tahun Baharu Cina ini.
Ujarnya, peningkatan kenderaan itu dijangka berlaku pada waktu puncak, Jumaat dan Sabtu ini khususnya di laluan utara.
"Cuti Tahun Baharu Cina ini ramai yang ambil peluang pulang ke kampung bukan hanya orang Cina, tetapi semua bangsa yang ada di Malaysia.
"Dengan keadaan itu kenderaan yang menggunakan laluan di negeri ini dari Tanjung Malim ke Parit Buntar pastilah bertambah.
"Kita jangkakan tidak kurang 2.5 juta kenderaan di lebuh raya sahaja, itu tidak termasuk Jalan Persekutuan yang turut menjadi tumpuan pengguna jalan raya, jadi jumlah keseluruhan kenderaan pastilah lebih daripada itu," katanya.