KUALA LUMPUR -"Cleopatra dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin tidak pernah bernikah," kata peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin, selepas satu sijil perkahwinan dari Thailand diserahkan kepada anak guamnya, tahun lalu.
Akberdin yang mewakili ahli perniagaan, Cleopatra atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 30, berkata, setelah menyelidik kesahihan dokumen itu, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memaklumkan ia adalah palsu.
"Anak guam saya tidak pernah ke negara jiran itu pada tarikh yang dinyatakan apatah lagi melangsungkan pernikahan menerusi dalam talian.
"Dia juga tidak mengetahui sumber asal dokumen berkenaan dibuat atau lokasi ia dicetak sebelum dihantar kepada nenek Nur Fathiah.
"Jadi, anak guam selaku pemohon, hadir ke mahkamah untuk memfailkan permohonan pengesahan perkahwinan antara Nur Fathiah dengan Tan Sri Mohd Bakri selaku responden, sedangkan ia tidak pernah wujud," katanya selepas prosiding sebutan kes yang dibuat dalam kamar mahkamah di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 April depan untuk sebutan kes bagi permohonan bekas calon kerusi Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu.
Pada tarikh itu, mahkamah mengarahkan pihak pemohon dan responden berhujah untuk mendapatkan pengesahan sama ada berlaku perkahwinan atau sebaliknya.
Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd Bakri, 70, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya telah meneliti segala permohonan yang dibuat Nur Fathiah selaku pemohon.
Beliau turut mengesahkan perkara sama, bahawa anak guamnya mengambil pendirian sama bahawa tiada pernikahan berlaku antara mereka berdua.
Bagaimanapun, dalam prosiding pada Isnin, peguam syarie itu berkata, anak guamnya tidak hadir ke mahkamah kerana mengalami penyakit Parkinson dan kanser prostat.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Nur Fathiah menyangkal dakwaan telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Bakri.
Nur Fathiah berkata, bekas polis tertinggi itu juga bukan merupakan pengerusi kepada anak syarikat miliknya.
Sebelum itu, Nur Fathiah telah memuat naik gambar dirinya dan Bakri di Instagram ketika mereka menghadiri konsert 'Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto'.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen malah gambar tersebut turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai.