SHAH ALAM - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain perlu mengelak daripada memberi sebarang kenyataan dengan menyimpulkan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua sebagai bersalah.
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Ramkarpal Singh berkata, siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara itu berkenaan dakwaan menghina institusi diraja susulan pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Abdul Razak masih lagi belum selesai.
"Dalam kenyataannya semalam (Ahad), KPN menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes Tony Pua kerana ia masih dalam siasatan, tetapi dalam masa sama menyimpulkan kenyataan itu berbaur hasutan.
"Nampaknya KPN telah mendapati Tony Pua bersalah tanpa memberi hak untuk membuat siasatan yang betul dan adil," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di aplikasi X pada Isnin.
Sebelum ini, Razarudin dilapor mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kenyataan bersifat menghasut orang ramai supaya membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu dibuat Tony yang dipercayai merujuk keputusan Lembaga Pengampunan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor mendakwa, kenyataan daripada pegawai tertinggi polis tidak menimbulkan keyakinan terhadap kesaksamaan proses siasatan.
Ujar beliau, KPN harus menjalankan tugas secara profesional dan tidak dilihat mempengaruhi proses siasatan.