Wanita maut dibakar suami sendiri

Iklan
Lokasi kejadian seorang wanita meninggal dunia selepas disimbah petrol dan dibakar oleh suaminya sendiri di Kampung Tinagalan, Sook.

KENINGAU - Seorang wanita maut dipercayai dibakar suaminya sendiri dalam kejadian di Kampung Tinagalan, Sook, dekat sini Jumaat lalu.

Mangsa yang berusia 41 tahun dilaporkan meninggal dunia pada Ahad selepas menerima rawatan di Hospital Keningau.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ahli keluarga mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek berusia 50 tahun telah minum 'tapai' (minuman beralkohol) sejak Jumaat lalu di rumah mereka.

Iklan

"Pada hari yang sama kira-kira jam 10 malam, anak mereka berusia 16 tahun terlihat kedua-duanya bertengkar mulut dalam keadaan mabuk yang teruk.

"Ketika bertengkar, suspek mengatakan hendak membakar mangsa dan mangsa pula mencabar untuk membakarnya jika berani.

Iklan
Lokasi kejadian seorang wanita meninggal dunia selepas disimbah petrol dan dibakar oleh suaminya sendiri di Kampung Tinagalan, Sook.

"Suspek kemudian ke tingkat bawah rumah untuk mengambil gelen berisi petrol dan naik semula lalu menyimbah petrol ke badan mangsa sebelum bertindak mencampakkan mancis yang menyala ke arah mangsa sehingga menyebabkan badan mangsa terbakar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Susulan kejadian itu, Yampil berkata, rumah yang mereka diami terbakar sepenuhnya dan terdapat tiga anak turut berada di rumah tersebut.

"Anak mangsa bertindak membawa dua adiknya yang tidur keluar dari rumah kerana api yang bermula dari bilik kedua ibu bapanya mula merebak dalam rumah.

"Usaha memadamkan api pada badan mangsa dilakukan oleh anaknya sebelum mendapatkan bantuan daripada bapa saudaranya.

"Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Sook untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut. Namun pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia pada jam 1.41 tengah hari Sabtu," katanya.

Sehubungan itu, Yampil berkata, suspek ditahan dan direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.