KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menutup sebanyak 2,093 tapak lokasi sampah haram melibatkan anggaran kos pembersihan berjumlah RM1.6 juta sepanjang tahun lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sekiranya isu melibatkan tapak sampah haram masih berterusan, KPKT akan mempertimbangkan cadangan untuk meminda undang-undang supaya kadar denda dilipatgandakan.
"Malah, kita juga akan mempertimbangkan hukuman penjara untuk mereka yang melakukan kesalahan berulang.
"Setakat hari ini, sebanyak 15 kes pendakwaan sampah haram telah pun disabit kesalahan oleh mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM168,000," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Operasi Pembersihan dan Penutupan Tapak Sampah Haram di Jalan Davis, Kuala Lumpur pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ir Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, tapak milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan keluasan 18,000 kaki persegi itu pada asalnya bertujuan bagi pembinaan masjid Cina Muslim namun dijadikan sebagai tapak pelupusan sampah haram.
Menurutnya, KPKT melalui SWCorp akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membuang sampah di lokasi tersebut.
"KPKT memandang serius isu berkaitan pengurusan sisa pepejal di bawah fungsi SWCorp di mana pelaksanaan operasi berterusan tapak pelupusan sampah haram merupakan antara inisiatif utama kementerian pada tahun ini," ujarnya.
Sementara itu, ulas beliau, KPKT menerusi agensi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melaksanakan pembasmian besar-besaran tapak sampah haram di tujuh negeri yang mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2007 (Akta 672).
Jelasnya, jumlah sisa yang dibersihkan melibatkan negeri Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Perlis itu mencecah anggaran sebanyak 6,410 tan metrik sampah.