PERLAWANAN peringkat separuh akhir Piala Asia 2023 menjanjikan aksi menarik dan mengujakan apabila menampilkan tiga bekas juara iaitu juara bertahan Qatar, Iran dan Korea Selatan serta Jordan yang berupaya mencipta kejutan.
Korea Selatan yang menumbangkan juara tiga kali Arab Saudi di pusingan 16 terbaik dan juara 2015 Australia di suku akhir akan bertemu Jordan yang menewaskan juara 2007 Iraq dan Tajikistan, di Stadium Ahmad Bin Ali di Al Rayyan, esok.
Pada satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Al Thumama di sini, Rabu ini, Qatar yang mengatasi Palestin dan Uzbekistan, akan bertemu juara tiga kali Iran yang berjaya melepasi halangan Syria dan juara empat kali yang juga pilihan kejohanan, Jepun.
Setiap pasukan mempunyai impian masing-masing dengan Qatar yang muncul juara buat kali pertama pada 2019 mengimpikan untuk mempertahankan gelaran di laman sendiri.
Di atas kertas, Korea Selatan bimbingan Jurgen Klinsmann dipacu kepintaran pemain bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min dan Lee Kang-in (Paris Saint-Germain) yang masing-masing telah meledak tiga gol di sini, memiliki segala kelebihan untuk menempah tiket ke final.
Skuad Taegeuk Warriors telah membuktikan kemampuan mereka mencipta jaringan pada lewat permainan selepas menjaringkan empat gol dalam tempoh tambahan masa untuk ‘membunuh’ semangat pihak lawan sebelum mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Ketika pasukan lain mungkin keletihan, tahap ketahanan Korea Selatan tidak tergugat untuk meraih kemenangan selepas mengharungi 120 minit permainan dalam dua perlawanan kalah mati dengan satunya berlanjutan sehingga ke penentuan penalti untuk mara sejauh ini.
Jordan yang diberi julukan The Chivalrous merupakan salah satu mangsa Korea Selatan ketika mereka terikat 2-2 pada aksi Kumpulan E yang menyaksikan Yazan Al Arab menjaringkan gol sendiri selepas tertampan bola rembatan Hwang In-beom pada tambahan masa.
Namun, skuad bimbingan Hussein Ammouta yang sudah menjaringkan keseluruhan 10 gol dalam kempen kali ini boleh menarik nafas lega apabila Korea Selatan bakal beraksi tanpa pemain Bayern Munich Kim Min-jae yang merupakan tonggak pertahanan pasukan susulan penggantungan.
Sementara itu, pertembungan antara Qatar dan Iran yang merupakan aksi 50-50 dijangka berlangsung sengit dan mampu berlanjutan sehingga ke penentuan penalti.
Masih segar dengan kejayaan membenam Jepun, Team Melli kendalian Amir Ghalenoei juga turun dengan bekalan selesa selepas tidak tewas dalam enam pertemuan terakhir dengan kejayaan kali terakhir menyaksikan The Maroons diabikan 0-4 pada aksi persahabatan Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, pada kempen kali ini Qatar memiliki rekod pertahanan yang baik apabila hanya melepaskan dua gol setakat ini, sekali gus muncul pasukan yang paling kurang dibolosi antara yang mara ke pentas separuh akhir.
Sekiranya perlawanan Rabu ini berlanjutan ke penentuan penalti, penjaga gol Qatar Meshaal Barsham mampu menjadi igauan ngeri buat Iran selepas beliau bertindak cemerlang menyelamatkan tiga sepakan Uzbekistan pada aksi suku akhir.
Aksi itu juga peluang keemasan untuk Qatar bimbingan Marquez Lopez yang mempunyai kelebihan sokongan padu 'pemain ke-12' untuk menamatkan badi kekalahan ke atas musuhnya selepas kali terakhir menikmati kemenangan adalah dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 2009. - Bernama