KUALA LUMPUR –"Tak ada (komen),” kata peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas ditanya mengenai keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah kekal mengunci mulut sejak ura-ura mengenai pembebasan Najib, 71, diperkatakan Jumaat lalu.
Bagaimanapun, media baharu sahaja dijemput untuk menghadiri sidang akhbar pada jam 12.30 tengah hari Selasa di Kompleks Mahkamah ini.
Beliau tidak menyatakan isu yang akan diperkatakan kelak namun pihak media pastinya mengutarakan isu pengampunan tersebut.
Sebelum ini media tempatan melaporkan Najib akan dibebaskan namun berita berkenaan ditarik balik kerana fakta itu tidak dapat disahkan.
Spekulasi mengenai pembebasan awal Najib akhirnya terjawab apabila Lembaga Pengampunan itu mengesahkan bekas Presiden UMNO terbabit akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Tarikh tersebut ialah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Menurut kenyatan yang dikeluarkan oleh urusetia lembaga tersebut, keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.
Namun jika denda tidak dibayar, tempoh penjara Najib akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.
Pada 22 Ogos 2022 lalu, buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Najib menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib.
Sekali gus menyaksikan perdana menteri keenam itu kecundang dalam rayuan akhirnya di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung.
Najib dihantar ke Penjara Kajang jam 5.43 petang dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang.
Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berhubung dana SRC International.
Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sekali lagi dituduh di Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos tahun sama atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta) yang merupakan hasil kegiatan haram dan kesemuanya kes itu dibicarakan bersama.
Pada 3 April 2019, perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya adalah cacat.
Najib menghadapi tiga lagi kes di mahkamah membabitkan dakwaan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta.
Bagaimanapun, Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) malah keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan, pada 12 September tahun lalu.