KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan mengeluarkan fatwa berhubung status daging kultur selepas mengadakan perbincangan dengan Akademi Fiqh Islami Antarabangsa (IIFA).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu perlu dilakukan supaya keputusan atau fatwa yang bakal dikeluarkan oleh MKI selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja lebih teliti dan diperhalusi sebaik-baiknya.
"Untuk makluman, semua isu berkaitan daging kultur telah dibincangkan oleh MKI. Insya-Allah, perkara ini akan terus diperhalusi termasuk yang saya sebutkan baru-baru ini iaitu kita akan adakan perbincangan dengan IIFA di Jeddah dan isu daging kultur akan dimasukkan pada pertemuan itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat 2024 Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Pelancaran Sambutan Jubli Emas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya juga cuba mengesan sekiranya terdapat kemasukan daging kultur ke Malaysia namun sehingga kini, tiada lagi yang ditemukan.
"Sekarang masih belum ada lagi produknya. Kita sebenarnya ada tanya Singapura berhubung perkara ini namun tiada... kilang itu sendiri pun baru nak ditubuhkan, yang ada mungkin video yang boleh dibuat (diada-adakan) dan diviralkan," katanya.
Beliau berkata, Jakim juga telah mengadakan satu kajian awal pada tahun lepas dan telah dibentangkan dalam MKI dan hasil daripada pembentangan itu pihaknya melihat ada keperluan untuk mereka (Jakim) berbincang bersama IIFA di Jeddah nanti.
"Insya-ALLAH dalam bulan dua akan diadakan satu conference oleh IIFA bersama dengan ulama-ulama di peringkat global untuk mendapatkan pandangan kerana kita tidak mahu buat keputusan yang syok sendiri dan hasilnya itu biarlah kita dapatkan pandangan ulama antarabangsa barulah kita keluarkan hasil (keputusan).
"Dari segi kepakaran (Malaysia), di samping ilmuan yang sedia ada bersama mufti-mufti seluruh Malaysia, kita juga ada makmal (Makmal Analisis Halal Malaysia), Bandar Enstek kerana sekiranya ada beberapa produk yang meragukan kita akan hantar ke makmal ini yang berkeupayaan serta diiktiraf oleh ISO (Jabatan Standard Malaysia dalam MS ISO/IEC 17025:2017) yang memang mampu mengenalpasti lemak dan alkohol," katanya. - Bernama