Golongan miskin tegar di Kelantan meningkat

Iklan
Kelantan mencatat peningkatan golongan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar kepada lebih 78,000 sehingga 31 Januari lalu berbanding 68,000 sebelumnya. Gambar hiasan, gambar kecil: Jasri

KOTA BHARU - Kelantan mencatat peningkatan golongan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar kepada lebih 78,000 sehingga 31 Januari lalu berbanding 68,000 sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jasri Kasim berkata, jumlah tersebut meliputi KIR miskin tegar yang meningkat daripada 9,000 kepada 14,000 dalam tempoh sama.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, peningkatan juga disebabkan oleh Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) terkini yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Mengguna pakai PGK itu menjadikan jumlah KIR miskin (64,235) dan miskin tegar (14,111) di negeri ini berjumlah 78,346.

Iklan

"Angka itu menjadi cabaran dalam misi menoktahkan miskin tegar selain cabaran kepada kerajaan negeri mahupun Persekutuan dalam merencana pembangunan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Media Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM, di sini, pada Isnin.

Statistik miskin dan miskin tegar di negeri Kelantan.

Jasri mengulas lanjut, pertumbuhan pembangunan secara organik mungkin mengambil masa yang lama bagi meningkatkan serta mengimbangi taraf hidup rakyat di Kelantan.

Iklan

Jasri bagaimanapun berkata, pihaknya sudah membentangkan Kertas Strategik Menoktahkan Miskin Tegar di Kelantan 2024 pada Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri Kelantan.

Ujar beliau, misi merangkumi empat strategi yang akan melibatkan semua agensi-agensi pemberi bantuan sama ada di peringkat Persekutuan ataupun negeri.

"Kami mempunyai data mereka yang tergolong dalam kalangan miskin tegar dan akan mengadakan pertemuan secara individu ke individu.

"Kami akan memberi perhatian terhadap keperluan untuk membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan,” kata beliau.