PUTRAJAYA - Seramai 18 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) lagi yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak, 1 Februari lalu, berjaya ditangkap di rumah kongsi di kawasan ladang kelapa sawit di Tapah, pada Isnin.
Ini sekali gus menjadikan jumlah tangkapan seramai 76 orang, manakala 53 masih diburu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan 18 tahanan itu dibuat kira-kira jam 10 malam.
"Ini membuktikan mereka (tahanan lolos) ada di sekitar kawasan tersebut dan tidak dapat pergi jauh kerana letih selain memerlukan sumber makanan.
"Hari pertama (1 Februari) seorang meninggal dunia semasa melintas lebuh raya di Bidor dan semalam (Ahad) berlaku satu lagi insiden kemalangan maut membabitkan seorang lagi tahanan larikan diri itu semasa cuba melintas lebuh raya di Tapah.
"Setakat ini dua meninggal dunia, 76 ditangkap balik dan baki 53 masih diburu," katanya kepada pemberita selepas operasi PATI di sebuah kondominium di Presint 8 di sini pada Selasa.
Ruslin berkata, pihaknya mendapat maklumat PATI yang lolos berada di sekitar Bidor dan Tapah.
Jelasnya, siasatan juga dijalankan untuk mengenal pasti siapa dalang insiden di depot terbabit.
"Kita sedang jalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini.
"Saya berterima kasih kepada masyarakat dan penduduk yang memberi maklumat untuk tangkapan semula tahanan yang lolos terutamandi sekitar penempatan Orang Asli," ujarnya.
Dalam kejadian 1 Februari itu, seramai 131 tahanan dilaporkan bolos dari blok lelaki depoh berkenaan, termasuk seorang yang kemudian maut akibat kemalangan jalan raya.
Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya dan 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Usaha mencari tahanan yang lolos sedang giat dijalankan termasuk melalui bantuan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta JSJ Bukit Aman dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).