WASHINGTON - Jika kerajaan Iraq memaksa tentera Amerika Syarikat (AS) keluar dari negara itu, Baghdad bakal berdepan sekatan yang belum pernah mereka saksikan selama ini,” lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Presiden Donald Trump semalam.
Trump berkata, prospektif penalti ekonomi itu akan jauh melebihi sekatan melumpuhkan yang dikenakan AS ke atas Iran, sambil menambah,"Jika terdapat sebarang sikap permusuhan, yang mereka lakukan yang kami fikir adalah tidak wajar, kami akan mengenakan sekatan ke atas Iraq, sekatan yang amat besar ke atas Iraq.”
Amaran itu dikeluarkan selepas Parlimen Iraq meluluskan satu resolusi yang menggesa kerajaan mengusir tentera AS sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan Jeneral Iran iaitu Qassem Soleimani, yang merupakan bekas Ketua Arkitek Operasi Serantau Teheran.
Jabatan Negara AS meluahkan kekecewaan terhadap keputusan itu dan menggesa Baghdad menimbangnya semula.
Trump membuat ugutan itu selepas merujuk pelaburan ketenteraan AS di Iraq, terutama sebuah pangkalan udara di negara tersebut yang dibangunkan dengan bantuan AS.
"Kami mempunyai sebuah pangkalan udara yang luar biasa mahalnya di negara ini. Ia menelan kos berbilion dolar untuk dibina. Kami tidak akan keluar kecuali mereka membayar semula kos itu kepada kami,” katanya.
Presiden itu bagaimanapun tidak menyebut secara khusus pangkalan udara yang dirujuknya namun berkemungkinan besar ia adalah pangkalan udara Al Asad yang terletak di wilayah tengah Anbar.
Fasiliti itu dikendalikan bersama oleh tentera AS dan Iraq. - Bernama