Ganjaran RM20,000 beri maklumat kes bunuh Zayn Rayyan

Iklan
Zayn Rayyan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah terlibat dalam kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, Disember lalu.

Timbalan Pengerusi MCPF Selangor, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, ganjaran berkenaan diberikan sebagai salah satu usaha dalam memastikan individu terlibat dalam kes terbabit dapat segera dibawa ke muka pengadilan.

Iklan
Iklan

"MCPF bersedia tawar ganjaran kepada mana-mana individu berkaitan kes pembunuhan Zyan Rayyan sehingga suspek ini dituduh dengan jayanya.

"Ganjaran ini akan diberikan menerusi Polis Selangor dan kita telah mendapat persetujuan daripada Pengerusi MCPF berkaitan tawaran ganjaran ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Selasa.

Thaiveegan berkata, usaha yang dijalankan pihak polis dalam menjalankan siasatan dalam kes berkenaan bukan satu perkara yang mudah.

Iklan

"Saya sedia maklum akan pelbagai komen daripada orang awam berkaitan kes ini, bagi saya polis melakukan sedaya upaya dan berikan komitmen tinggi dalam usaha menjejaki suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan terhadap kes pembunuhan Zayn Rayyan dijalankan daripada pelbagai sudut dan aspek.

"Dalam kes ini, sebanyak 1,913 unit rumah diperiksa, 5,786 individu diambil keterangan, tangkapan melibatkan 17 individu selain rakaman percakapan melibatkan 243 individu.

"Selain itu, semakan turut melibatkan 15 rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pemeriksaan sebanyak 216 kenderaan, 262 sampel asid deoksiribonukleik (DNA), penggunaan lapan ekor anjing unit K-9 dan bantuan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perhutanan," katanya.

Katanya, setakat ini siasatan dijalankan masih belum menemui satu bukti kukuh yang menjurus kepada mana-mana individu terlibat dalam kes berkenaan.

"Pelbagai aspek siasatan kita telah jalankan namun belum temui sebarang keterangan fizikal atau verbal yang boleh membawa kepada individu terlibat.

"Siasatan dijalankan lebih dua bulan berkaitan kes ini dan apa saya boleh katakan, polis tidak pernah berputus asa, sentiasa kita sentiasa teruskan," katanya.

Disember lalu, mangsa berumur enam tahun itu ditemui di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa, Zayn Rayyan Abdul Matiin dipercayai dibunuh itu ditemui kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.