IPOH - Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak mengesahkan bahawa bilik hotel di sekitar bandar raya Ipoh masih mencukupi untuk menampung kehadiran pelancong terutama pada hujung minggu.
Pengerusinya, Zamari Muhyi berkata, sehubungan itu keputusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membenarkan perkhidmatan AirBNB dan inap desa beroperasi untuk menampung keperluan penginapan adalah tidak wajar dilaksanakan.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih peka terhadap kelestarian industri perhotelan yang berdaftar dan berlesen.
"Hasil daripada pemeriksaan bersama-sama ahli-ahli Persatuan MyBHA Perak mendapati jumlah bilik penginapan di Ipoh masih mencukupi.
"Pemantauan juga mendapati jumlah permintaan bilik penginapan di Ipoh menurun 30 hingga 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"AirBNB dianggap suatu perniagaan yang tidak berdaftar dan berlesen yang masih belum dikawal selia oleh kerajaan.
"PBT perlu memastikan setiap perniagaan berlesen dalam melindungi pengusaha-pengusaha industri perhotelan yang beroperasi mempunyai lesen," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Zamari berkata, di Perak terdapat 95 ahli MyBHA yang berdaftar menyediakan jumlah bilik sekitar 3,200 manakala di Ipoh terdapat sebanyak 35 ahli MyBHA yang menawarkan 1,200 buah bilik penginapan.
Sementara itu, beliau menyifatkan cadangan jangka masa pendek MBI yang mahu membenarkan AirBNB dan inap desa tidak berlesen beroperasi dalam memenuhi keperluan penginapan di bandar raya ini seolah-olah ingin menghalalkan operasi perniagaan penginapan tidak berlesen itu.
Menurut Zamari, pihak MBI seharusnya berbincang dahulu dengan pemain dan pemegang taruh industri perhotelan sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan industri perhotelan di negeri ini.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menyuarakan mengenai kekurangan bilik hotel di bandar raya Ipoh susulan kehadiran pengunjung yang mendadak terutama ketika musim perayaan dan hujung minggu.
Disebabkan itu, MBI memberi kebenaran buat AirBNB dan inap desa beroperasi sebagai penyelesaian jangka pendek.