VOKALIS kumpulan Hujan, Noh Salleh meluahkan rasa hairan dengan tindakan Mizz Nina menarik semula kes penjagaan penuh bagi anak angkat mereka iaitu Musa dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara.
Ujar penyanyi berusia 39 tahun itu, dia sudah bersedia menunjukkan bukti yang perlu bahawa dia juga adalah penjaga sah anak berusia dua tahun itu
"Hujahan dia (Mizz Nina) ada akaun berkanun daripada ibu kandung Musa, sama juga seperti saya. Ibu kandung Musa juga telah membenarkan saya untuk menjaganya menerusi akuan berkanun yang dia sendiri serahkan kepada saya.
"Kita nak bagi bukti, tetapi dia telah tarik permohon inter-parte itu. Jadi saya tidak ada kesempatan untuk tunjukkan," ujarnya.
Noh berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bersama peguamnya, Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin.
Tegas pelatun Angin Kencang itu, dia juga pernah mendaftarkan hak penjagaan Musa di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan turut meminta bekas isterinya itu mengemukakan bukti jelas bahawa telah diberikan hak penjagaan Musa.
"Hari ini, mahkamah setuju untuk penarikan balik, tetapi mahkamah tidak keluar perintah bahawa hak penjagaan kekal padanya.
"Nama saya juga dinyatakan sebagai penjaga sah Musa dalam dokumen yang saya sendiri daftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa ditemani Nina. Jadi mana kebenaran atas dakwaan yang nama saya tidak dinyatakan dalam dokumen tersebut?
"Apa buktinya yang dia penjaga tunggal Musa yang sah? Mana dokumen yang menyokong dakwaan tersebut? Saya boleh buka semua bukti dari awal, sebab semuanya ada bersama saya, tetapi saya tak mahu dedahkan aib bekas isteri saya," jelas Noh.
Bagaimanapun dalam masa sama, Noh berkata, dia menghormati segala keputusan yang dibuat oleh mahkamah hari ini dan akan menggunakan saluran yang betul untuk mendapat kebenaran bertemu Musa.
"Apa pun kena kembali tujuan asal kenapa mak dia datang untuk ambil Musa; atas kebajikan, penjagaan Musa. Cuma saya tidak mahu keluarkan kenyataan tentang itu.
"Apa pun sekarang adalah untuk kebaikan Musa. Saya turun dua hari ini pun untuk kebajikan Musa. Walaupun dia anak angkat, tetapi saya kalau dah sayang, saya akan sayang sepenuhnya.
"Cuma saya nak tegaskan, tiada unsur culik sebab pihak polis sendiri tidak tahan saya walaupun ada laporan polis terhadap saya," katanya yang mendakwa Mizz Nina telah menyekat nombornya.
Ditanya dakwaan Mizz Nina bahawa Musa trauma sebaik pulang semula ke pangkuan bekas isterinya itu, Noh pantas membidas.
"Saya ada bukti, betapa gembiranya Musa sepanjang tiga minggu bersama kami. Bangun tidur bersama-sama, tak pernah saya lihat Musa gembira sebegitu.
"Trauma itu rasanya untuk orang tidak pernah jaga Musa," ujarnya.
Noh dan Nina mendirikan rumah tangga pada Julai 2011 tetapi perkahwinan mereka berakhir pada Ogos 2022. Perkahwinan selama 11 tahun itu tidak dikurniakan cahaya mata, tetapi Nina dan Noh sempat mengambil anak angkat, Musa, dua tahun lalu.