Pengarah urusan direman kes rasuah traktor pertanian RM25 juta

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Seorang pengarah urusan syarikat pengedar traktor pertanian direman tiga hari untuk siasatan kes rasuah projek pembekalan, penghantaran, pengujian serta pemasangan traktor pertanian bernilai lebih RM25 juta.

Perintah reman bermula Selasa terhadap suspek berusia lingkungan 50-an dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, suspek sebelum ini antara tiga individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk seorang pengurus besar pemasaran dan seorang pengurus besar jualan di dua syarikat.

"Mereka dipercayai terlibat dalam penawaran dan pemberian rasuah kepada pegawai-pegawai di satu syarikat perladangan sebagai balasan kerana memberikan projek berkenaan.

Iklan

"Ketiga-tiga suspek telah ditahan sekitar jam 11 hingga jam 12 tengah malam tadi (Isnin) ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya," katanya pada Selasa.

Bagaimanapun, dua suspek yang berjawatan pengurus besar pemasaran dan jualan dilepaskan dengan jaminan kerana faktor kesihatan manakala suspek yang berjawatan pengarah urusan telah dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap ketiga-tiga suspek terbabit.

"Dua suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan," ujarnya

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.