Tze Yong sudah pulih daripada kecederaan

Iklan
NG TZE YONG

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sudah bersedia untuk diturunkan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas mengesahkan dirinya sudah pulih daripada kecederaan belakang yang dialami di Terbuka Malaysia Januari lepas.

Pemain yang menduduki ranking ke-15 dunia itu berkata, beliau telah memulakan latihan di gelanggang namun masih memerlukan sedikit masa untuk cergas sepenuhnya.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini, saya tak rasa sakit. Namun, saya belum 100 peratus cergas sebab ketika main (sesi latihan) saya belum dapat perasaan macam main sebelum ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di ABM Bukit Kiara disini hari ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu berkata beliau perlu berhati-hati pada sesi latihan bagi mengelakkan kecederaan berulang.

Iklan

Tze Yong tersenarai dalam skuad badminton negara di kejohanan BATC 2024 bersama Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.

Beregu lelaki bakal menyaksikan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai saingan bersama-sama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Iklan

Pada edisi kali ini, Malaysia yang turun sebagai juara bertahan kategori berpasukan lelaki diundi bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei.

Sementara itu, Tze Yong berkata dia optimis pasukan negara mampu memberikan saingan sengit namun mengakui ia bukan tugas mudah untuk mempertahankan gelaran kali ini.

"Dua tahun lepas, mungkin banyak pasukan tak menghantar pasukan terkuat mereka. Tapi kali ini banyak yang hantar, namun saya rasa kami boleh memberikan saingan," katanya. - Bernama