Tottenham terkesan tanpa sentuhan Kane

Iklan
Kane

Pengendali Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mengakui ketiadaan penyudah berkesan memberi impak kepada persembahan The Lilywhites ketika menentang Middlesbrough pada pusingan ketiga Piala FA malam semalam.

Menurut Mourinho, kecederaan dialami kapten yang juga penyerang utama, Harry Kane menyebabkan bahagian serangan Spurs kurang memberikan impak positif sehingga menyaksikan mereka terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1.

Iklan
Iklan

"Ketiadaan penyerang yang boleh memanfaatkan peluang dalam kotak penalti sedikit membimbangkan saya. Tidak hanya itu sahaja kerana ia turut memberi impak kepada semangat juang dan respons para pemain lain.

"Ketika kami ketinggalan 0-1 tanpa penyerang yang menjadi nadi kepada kelab, ia sedikit sebanyak menggambarkan lawan pasukan yang hebat. Inilah yang mula mendatangkan masalah kepada para pemain saya," katanya.

Iklan

Pada aksi di Stadium Riverside itu, The Lilywhites terlebih dulu ketinggalan hasil jaringan minit ke-50 Ashley Fletcher sebelum gol Lucas Moura menyelamatkan maruah Spurs apabila meledak gol penyamaan berselang 11 minit kemudian.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan akan sekali lagi membuat perhitungan dalam aksi ulangan di Stadium Tottenham Hotspur pada 14 Januari ini.

Iklan

"Saya mengakui perlawanan ini begitu sukar tapi respons positif para pemain yang bangkit selepas kami ketinggalan amat menggembirakan saya. Giovani Lo Celso dan Erik Lamela sangat membantu kami.

"Pada aksi ini jika ada pasukan yang sepatutnya menang, sepatutnya kami (yang menang) kerana kami tampil lebih baik dalam tempoh 20 minit terakhir. Biarpun mahu menang tapi kami terpaksa akur dengan keputusan seri," ujarnya.