Tahun Baharu Cina: Kenderaan berat dilarang guna lebuh raya 4 hari

Iklan
Lokman (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada petugas JPJ yang melakukan pemeriksaan bas di Depoh Transnasional, Sungai Chua, Kajang, Selangor sempena Ops JPJ Depoh Khas Bulan Perayaan.

KAJANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkuasakan larangan untuk kenderaan berat menggunakan jalan raya khususnya lebuh raya selama empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, larangan akan dikuatkuasakan pada 8 dan 9 Februari, sementara dua hari lagi selepas perayaan iaitu pada 12 dan 13 Februari.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, larangan tersebut bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang musim perayaan selain mengelak berlaku kejadian kemalangan maut.

"Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.

Iklan

"Matlamat JPJ untuk melandai statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Lokman (tengah) memberi arahan kepada petugas JPJ yang melakukan pemeriksaan bas di Depoh Transnasional, Sungai Chua, Kajang, Selangor sempena Ops JPJ Depoh Khas Bulan Perayaan.Foto: SINAR / HISYAMUDDIN AYUB.

"JPJ menyeru dan memohon kerjasama kepada pengguna jalan raya dan orang awam untuk mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya lain," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan di Depoh Transnasional Express Sdn Bhd (Transnasional), Sungai Chua, dekat sini sempena Ops JPJ Depoh Khas Bulan Perayaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Transnasional, Syed Syamma Wafa Syed Jalaluddin dan Ketua Operasi Transnasional, Rosli Md Dali.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, aktiviti pemeriksaan dan pengauditan melibatkan depoh bas di seluruh negara dilaksanakan JPJ bermula Sabtu hingga Rabu.

Lokman (tengah) mendengar penerangan daripada petugas JPJ yang melakukan pemeriksaan bas di Depoh Transnasional, Sungai Chua, Kajang, Selangor sempena Ops JPJ Depoh Khas Bulan Perayaan.

Kata beliau, sebanyak 361 bas di 54 depoh di seluruh negara telah diperiksa, selain memastikan tahap kesediaan operasi dan keselamatan berada dalam keadaan baik.

Walau bagaimanapun, menurutnya, sebanyak 12 bas telah diambil tindakan dan 10 bas dikeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) di atas pelanggaran peraturan teknikal yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama katanya, JPJ juga memantau pemandu yang akan mengendalikan operasi bas mempunyai dokumen yang lengkap dan bersedia mengoperasikan perkhidmatan bas mengikut jadual ditetapkan.

Lokman (depan, empat dari kanan) bergambar kenangan bersama kakitangan Transnasional selepas melakukan pemeriksaan bas di Depoh Transnasional, Sungai Chua, Kajang, Selangor sempena Ops JPJ Depoh Khas Bulan Perayaan.

"Kita memandang serius aspek keselamatan dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas ekspres termasuk mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang serta peraturan yang ditetapkan," katanya.

Selain itu menurut beliau, pihaknya melakukan pemeriksaan status saman syarikat pengendali bas tertunggak dan pemeriksaan status saman pemandu bas tertunggak.

Tambahnya, pemeriksaan teknikal dan 'roadworthiness' keselamatan kenderaan dilakukan termasuk brek, tayar, lampu, pembalik cahaya, dokumen kenderaan dan pemandu serta peralatan keselamatan.