Air Terjun Bayan Lepas dipenuhi sampah

Iklan
Sampah sarap dan botol minuman terapung di dalam kolam air terjun menyebabkan air di Air Terjun Bayan Lepas kotor.

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sampah sarap di kawasan Air Terjun Bayan Lepas.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal kerana masalah itu sudah lama berlaku tetapi tiada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya menyebabkan keadaan pencemaran di situ menjadi bertambah serius dan menjijikkan.

Jalan masuk ke air terjun berkenaan yang turut dipenuhi sampah sarap.

Iklan
Iklan

Menurutnya, difahamkan tindakan penghuni rumah pangsa berhampiran yang membuang pelbagai jenis bahan buangan di kawasan itu menjadi punca utama kejadian tersebut berlaku.

"Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati, bahan buangan seperti sisa plastik, kertas, tilam, bantal buruk, lampin bayi, sisa makanan, perabot rosak, tin kosong, botol minuman dan lain-lain bersepah di kawasan itu.

Papan tanda Air Terjun Bayan Lepas.

Iklan

"Barang buangan itu juga didapati terapung dan terdampar di dalam kolam air terjun tersebut. Selain itu, ada pokok tumbang dan daun kering yang tidak dibersihkan, jambatan dan bangku telah rosak tidak dibaiki serta jalan masuk ke kawasan itu sempit selain dipenuhi semak samun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohideen menambah, selain pencemaran alam sekitar, masalah itu juga boleh mencetuskan wabak penyakit kepada orang ramai.

Iklan

"Jika keadaan ini berterusan, pengaliran air akan tersekat dan banjir kilat boleh berlaku pada masa akan datang selain mengancam kehidupan penduduk di negeri ini," katanya.

Sehubungan itu, Mohideen juga menggesa Pejabat Daerah Barat Daya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melaksanakan tanggungjawab demi menjaga alam sekitar, kebersihan tempat beriadah dan mengekalkan keindahan alam semula jadi kawasan tersebut serta sumber air bersih untuk para pengunjung bermandi manda.

"CAP berharap bahan buangan di situ dibersihkan segera, kemudahan asas untuk para pengunjung dibina dengan sempurna dan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa dilaksanakan dengan tegas ke atas mereka yang melakukan pencemaran alam sekitar di kawasan tersebut," katanya lagi.

Jambatan yang rosak di kolam air terjun.