Ducati tiada cukai jalan kena sita

Iklan
Pemeriksaan mendapati cukai jalan dan insurans motosikal berkenaan tamat tempoh sejak tahun 2016.

KUALA LUMPUR - Sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati 848 disita di Jalan Sungai Pusu, di sini, pada Selasa selepas pemeriksaan dijalankan mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan itu tidak diperbaharui sejak lapan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, motosikal itu ditahan sepasukan anggota Stesen Penguat kuasa Gombak pada jam 10.45 pagi menerusi operasi sempena Tahun Baharu Cina JPJ Kuala Lumpur 2024.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal itu ditunggang lelaki tempatan yang juga seorang mekanik dan dalam perjalanan dari satu bengkel ke bengkel lain.

Sebuah motosikal jenis Ducati 848 disita JPJ Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan, pada Selasa.

"Motosikal itu adalah milik pelanggannya.

Iklan

"Pemeriksaan mendapati penunggang terbabit tiada lesen kelas B selain cukai jalan dan insurans motosikal tamat tempoh sejak tahun 2016 selain tiada nombor plat di bahagian depan serta belakang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

Dalam operasi berlainan, Mohd Zaki berkata, sebuah lori yang membawa muatan besi jambatan secara berbahaya ditahan di Kilometer 38, Genting Sempah, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa.

Katanya, tindakan diambil terhadap pemandu berusia lingkungan 30-an itu kerana muatan terbabit boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Tegasnya, JPJ mengingatkan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan menyeru serta mengalukan orang awam untuk melaporkan aduan berkaitan salah laku di jalan raya secara terus melalui aplikasi MyJPJ, e-aduan@jpj atau emel ke aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan.