Dedah segera identiti kenderaan menteri ekori ambulans - Pemuda MCA

Iklan
Gambar tular sebuah kenderaan rasmi menteri mengekori rapat ambulans yang dalam kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, baru-baru ini.

SHAH ALAM - Siasatan dan tindakan tegas perlu diambil berhubung insiden sebuah kenderaan rasmi menteri mengekori rapat ambulans yang dalam kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Chong Yew Chuan berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke juga perlu mendedahkan identiti menteri berkenaan bagi membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang tanpa 'memilih bulu' dan memelihara nama baik kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, insiden yang berlaku sewaktu kejadian kemalangan berkenaan tular di media sosial dan menerima perhatian serta kecaman orang ramai.

"Tindakan kenderaan rasmi seorang menteri mengekori rapat sebuah ambulans bukan sahaja suatu teladan yang amat salah, tetapi juga melibatkan pemanduan berbahaya serta membawa risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

Iklan

"Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan wajar memandang serius perkara tersebut serta mengambil tindakan yang tegas, bagi menunjukkan iltizamnya dalam memelihara keselamatan jalan raya serta pengguna yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Yew Chuan, memandangkan insiden tersebut berkait rapat dengan soal keselamatan jalan raya, Kementerian Pengangkutan dan kerajaan akan dianggap sebagai menyokong pemanduan berbahaya jika Anthony tidak menyatakan pendirian, mahupun mengambil tindakan.

Iklan

"Sekiranya Kementerian Pengangkutan bersikap membisu, di manakah kedudukan moral Kerajaan Perpaduan pada masa depan untuk meminta rakyat memandu dengan cermat, ataupun mengambil tindakan terhadap pengguna yang tidak mematuhi peraturan jalan raya?

"Ini merupakan satu isu yang sangat penting dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” ujar beliau.

Tambahnya, memandangkan sebahagian butiran kenderaan rasmi tersebut termasuk nombor pendaftaran telah dipaparkan di media sosial, ia akan memudahkan kerja Anthony untuk mendapatkan butiran lanjut, termasuk identiti menteri terbabit.